Categories
NASIONAL

Pembebasan Said dibatalkan kerana kebimbangan Kuan Yew

OLEH : NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Bekas ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari hampir dibebaskan awal daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Singapura sebelum dibatalkan semula oleh pemerintah Singapura.

Salah seorang rakan rapat beliau, Dr Syed Husin Ali, berkata pembatalan itu dibuat dipercayai kebimbangan Kerajaan Singapura terhadap kekuatan pengaruh yang ada pada beliau.

Said Zahari“Kita dengar berita Said akan dibebaskan. Kita berbincang di Kuala Lumpur, saya Usman Awang, Dr Rajakumar dan beberapa orang apabila akhirnya kita bersetuju untuk saya ke Singapura untuk gerakan rakan di Singapura untuk sambut Said.

“Saya jumpa beberapa bekas pelajar saya di sana tetapi malangnya salah seorang yang saya percayai yang sama-sama dalam persatuan pelajar dengan saya rupa-rupanya dia beritahu pihak di atas.

“Apabila Lee Kuan Yew tahu sahaja, Said sepatutnya dibebaskan bersama Dr Poh Soo Kai pada masa itu tidak dibebaskan sebabnya ialah Kuan Yew takut sangat kalau Said dibebaskan dan disambut terutama orang Melayu, ini akan menjadi perkumpulan kuat,” kata Syed Husin.

Syed Husin berkata demikian pada Majlis Memperingati Said Zahari di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor, di sini, semalam.

Katanya, Kuan Yew pada masa itu mahu orang ramai percaya bahawa Said merupakan seorang anggota komunis.

“Kuan Yew mahu orang sentiasa percaya bahawa Said adalah seorang komunis. Dia bukanlah seorang komunis. Said bukan komunis tetapi dia bebas dengan pendiriannya,” kata Sed Husin.

EZY

Categories
NASIONAL

Pak Said tolak gelaran Tan Sri, enggan gadai kebebasan media

OLEH : NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Mungkin ramai tidak tahu, bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Allahyarham Said Zahari pernah ditawarkan gelaran Tan Sri bagi memastikan Utusan Melayu mengikut telunjuk Umno dan Parti Perikatan ketika itu.

Perkara itu didedahkan salah seorang sahabat baik kepada ketua Mogok Utusan itu sendiri iaitu Dr Syed Husin Ali yang juga merupakan bekas Senator Dewan Rakyat.

Said Zahari“Dia memberi ruang kepada Umno dan Perikatan sama seperti dia memberi ruang kepada pihak pembangkang seperti Pak Sako, Ahmad Boestaman yang diberi ruang menulis dalam akhbar Utusan.

“Kerajaan pada masa itu berusaha untuk memenangi hati Utusan dan Said. Salah satu langkah yang mula-mula diambil ialah menawarkan gelaran Tan Sri kepada Said tetapi Said menolak. Kalau dia terima, Said menjadi wartawan pertama yang mendapat gelaran Tan Sri, lebih awal daripada Tan Sri Samad Ismail,” kata Syed Husin.

Syed Husin berkata demikian pada Majlis Memperingati Said Zahari di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor, di sini, hari ini.

Katanya, apabila melihat reaksi Said terhadap tawaran diberikan, Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra bertindak meletakkan bekas Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri untuk mengendalikan Utusan Melayu.

Tindakan itu menyebabkan Said melancarkan Mogok Utusan yang berlanjutan sehingga lebih 100 hari dan menyebabkan Said sendiri terbuang di Singapura.

“Mogok ini adalah mogok pekerja terpanjang pernah berlaku,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Singapura dan hanya dibebaskan selepas 17 tahun kemudian.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pak Said berkorban demi nusa dan bangsa – Wan Azizah

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 13 APRIL: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham Said Zahari di atas pemergiannya semalam.

Katanya, Said adalah penulis, wartawan dan editor tersohor yang banyak menyumbang serta berkorban demi nusa dan bangsa, terutama dalam gerakan anti-penjajah sejak sebelum Merdeka lagi.

“Usaha Allahyarham bersama teman mempertahankan Utusan Melayu sejak diambil alih parti politik UMNO terus menjadi inspirasi pengamal media yang memperjuangkan hak kebebasan media.

Said Zahari“Kita kehilangan seorang anak watan yang berani bangkit berjuang dan berkorban demi idealisme dan prinsip kebebasan,” katanya dalam kenyataan.

Wan Azizah turut mengimbau jasa isteri Said, iaitu Allahyarhamah Salamah Abdul Wahab yang sudah meninggal dunia pada 2004.

“Sebagai seorang isteri dan ibu yang berjuang selama 17 tahun sewaktu Said Zahari menjadi bekas tahanan ISA yang ditahan tanpa perbicaraan, kehidupan dan perjuangan Allahyarhamah Salamah juga harus kita kenang,” katanya.

Said Zahari yang pernat berkhidmat sebagai pengarang Utusan Malaysia menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 12.30 tengah hari semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 20/21.

-AA-

Categories
SELANGOR

Anak pernah saran segerakan wawancara Said sebelum terlambat

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 APR: Menyedari keadaan bapanya semakin uzur, Norman Said menyarankan supaya SelangorKini tidak melengah-lengahkan pertemuan dengan bapanya untuk diwawancara.

Saranan itu dibuat kepada wartawan SelangorKini apabila SelangorKini menyatakan hasrat untuk mengadakan wawancara khas dengan bekas Pengarang Utusan Melayu dan bekas tahanan ISA selama 17 tahun, Said Zahari sempena ulang tahun kemerdekaan ke-58 tahun lalu.

Said Zahari“Lagi cepat lagi bagus sebab dia tak berapa sihat sekarang,” kata Norman ketika SelangorKini menyatakan hasrat untuk menemubual Said pada September lalu.

Jelasnya, bapanya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Said ketika itu sudah tidak boleh menulis lagi kerana berada dalam keadaan separuh lumpuh.

Selepas pertemuan diaturkan, akhirnya SelangorKini mengadakan wawancara ekslusif bersama Said beberapa hari sebelum menjelang 31 Ogos tahun lalu.

Dalam pertemuan yang berlangsung selama hampir dua jam itu, SelangorKini mendapati Said bukan sahaja masih mampu mengingati beberapa perkara penting sepanjang pembabitan beliau dalam dunia kewartawanan, malah turut mengambil tahu isu-isu semasa yang sedang berlaku.

Anaknya, Rismawati Said memberitahu, walaupun Said tidak lagi mampu menulis tetapi beliau banyak menghabiskan masa membaca buku dan surat khabar untuk mengikuti perkembangan semasa.

Wawancara dipercayai yang terakhir itu kemudiannya diterbitkan di akhbar SelangorKini dan portal SelangorKini dengan tajuk ‘Wawancara: 17 tahun ditahan ISA, suatu perjalanan panjang.

Categories
SELANGOR

MB: Dunia kewartawanan, perjuangan demokrasi rasai kehilangan Arwah Pak Said

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 APR: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menganggap pemergian bekas Pengarang Utusan dan bekas tahanan ISA selama 17 tahun, Said Zahari sebagai kehilangan besar terhadap dunia kewartawanan dan perjuangan demokrasi.

Katanya, ini berikutan Said atau lebih mesra dengan panggilan Pak Said itu merupakan antara tokoh penting dalam sejarah kewartawanan bagi menuntut kebebasan media sejak di era pentadbiran Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman lagi.

Said Zahari“Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada dunia kewartawanan dan perjuangan demokrasi di Malaysia dan Singapura.

“Saya mendoakan semoga Allahyarham Pak Said Zahari dikurniakan husnul khatimah dan ditempatkan di syurga yang penuh nikmat. #Belangsungkawa,” tulis Mohamed Azmin dalam mesej di akaun laman sosial twitter hari ini.

Sebelum ini, Mohamed Azmin dalam satu kenyataannya sempena ulang tahun kemerdekaan ke-58 berkata, Said merupakan pencetus kepada kebebasan media bagi membina masyarakat yang mampu berfikir, berilmu dan bebas untuk membaca bahan bacaan yang tidak dipengaruhi parti politik.

“Menentang penjajahan tidak semestinya dengan senjata di medan peperangan tetapi ada juga penjajahan minda yang memerlukan kekuatan moral rakyat hari ini untuk bangkit melakukan perubahan.

MB Azmin“Individu seperti Said Zahari tentunya merupakan pencetus kepada kebebasan media untuk membina masyarakat boleh berfikir, berilmu, masyarakat boleh membaca dan sudah tentu bahan bacaan yang mahu didedahkan kepada masyarakat adalah bahan bacaan berkualiti tanpa dipengaruhi mana-mana parti politik.

“Beliau adalah seorang pejuang kerana memberi sumbangan besar dalam membina pemikiran rakyat Malaysia supaya mereka bebas dan mempunyai jiwa, fikiran yang merdeka dan dengan kekuatan ilmu ini menjadi asas membina asas masyarakat hari ini dan akan datang,” kata Mohamed Azmin.

EZY

Categories
NASIONAL

Jenazah Pak Said dikebumikan di USJ 20/21 sebelum Maghrib

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 APR: Bekas pengarang Utusan Malaysia dan juga bekas tahanan ISA selama 17 tahun, Said Zahari yang menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 12.30 tengah hari tadi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 20/21 sebelum Maghrib, kata anak lelakinya, Norman Said.

“Solat jenazah di Al-Falah USJ dan jenazah akan ke sana dari Puncak Alam sekitar jam 5 petang. Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam USJ 20/21 sebelum Maghrib nanti,” kata Norman kepada SelangorKini.

Al-FATIHAHTerdahulu, pada 9 Februari lalu, Norman dalam satu perbualan dengan wartawan SelangorKini memberitahu keadaan bapanya masih bersemangat walaupun semakin dimamah usia.

“Alhamdulillah, dia biasa saja, dah uzur, tua, ingatan juga semakin kurang dan tak berapa dengar tetapi selain itu dia masih bersemangat kental .

“Dah tak ramai orang seangkatan dan berjiwa seperti dia. Rasanya dia antara yang terakhir yang masih ada,” tulis Norman dalam mesejnya kepada SelangorKini.

Said atau lebih mesra dengan panggilan Pak Said meninggal pada usia 88 tahun dan merupakan ketua mogok kakitangan akhbar Utusan Melayu pada 1961 bagi membantah cubaan Umno untuk mengambilalih akhbar paling berpengaruh ketika itu.

Said ZahariTindakan Said mengetuai peristiwa yang dikenali dengan nama ‘Mogok Utusan’ itu menyebabkan beliau tidak dibenarkan kembali ke Malaysia selepas mengadakan lawatan ke Singapura bagi urusan kerja.

Beliau kemudiannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Singapura selama 17 tahun dan kembali menetap di Malaysia pada 1989 selepas permohonan beliau untuk balik ke Malaysia diluluskan Kerajaan Malaysia ketika itu.

EZY

Categories
SELANGOR

Said Zahari meninggal dunia pada usia 88 tahun

SHAH ALAM 12 APR: Bekas pengarang Utusan Malaysia, Said Zahari meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Perkara itu diberitahu oleh anaknya Norman Said melalui tulisan di Facebook.

Norman menulis: “Innalillah. Ayah saya, Said Zahari, telah kembali ke rahmatullah pukul 12.30 tengah hari tadi.”

Said ZahariSaid Zahari, 88, sebelum negara mencapai kemerdekaan merupakan Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu yang lantang mengkritik penjajahan British dan membangkitkan semangat menentang British dalam diri masyarakat Melayu khususnya ketika itu.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, pada 1961 beliau mengetuai mogok kakitangan akhbar Utusan Melayu yang membantah cubaan Umno untuk mengambilalih akhbar paling berpengaruh ketika itu.

Tindakan Said mengetuai peristiwa yang dikenali dengan nama ‘Mogok Utusan’ itu menyebabkan beliau tidak dibenarkan kembali ke Malaysia selepas mengadakan lawatan ke Singapura bagi urusan kerja.

Beliau kemudiannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Singapura selama 17 tahun dan kembali menetap di Malaysia pada 1989 selepas permohonan beliau untuk balik ke Malaysia diluluskan Kerajaan Malaysia ketika itu.

SELANGORKINI mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.

EZY

Categories
NASIONAL

Kekal peduli rakyat, Pakatan bakal tawan Persekutuan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 OGOS: Pentadbiran peduli rakyat yang diamalkan Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor akan terus mendapat mandat jika dasar yang diterapkan itu terus dikekalkan.

Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari, berkata, Pakatan juga mampu menerajui pentadbiran persekutuan jika kekal membawa aspirasi rakyat dan mengukuhkan hubungan antara parti di dalam konsesus itu.

IMG_7375 Said yang mengetuai Mogok Utusan pada 1961 yakin keadaan politik semasa memungkinkan Pakatan menyaingi kerajaan sedia ada dengan memperkemaskan gabungan antara mereka.

“Saya percaya jika kerajaan Pakatan Selangor tergelincir daripada tujuan utama dan tidak mementingkan kepentingan rakyat pasti mereka akan dijauhi. Terutama jika Pakatan tidak dapat menyatupadukan perjuangan mereka.

“Namun, kerajaan sedia ada pula dilihat akan menggunakan kuasa yang ada iaitu kuasa ISA kerana ia paling berkesan untuk menakutkan rakyat supaya jangan menyokong pembangkang.

Grafik-Selangor-Pakatan“Saya percaya apa yang pembangkang mahukan akan tercapai juga selagi mereka mendekati dan mementingkan rakyat,,” kata Said ketika ditemubual Selangor Kini di kediaman anaknya, baru-baru ini.

Katanya, langkah membentangkan rang undang-undang kebebasan maklumat di sidang Dewan Negeri Selangor bagi tujuan merakyatkan informasi juga wajar dipuji.

“Mana-mana kerajaan wajar telus memberi maklumat kepada rakyat yang memilih mereka dalam pilihan raya,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Ketua Mogok Utusan sara hidup dengan bantuan zakat, jualan buku

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 OGOS: Tokoh wartawan, Said Zahari, 87, kini menyara hidup dengan hasil jualan buku memoirnya dan bantuan Lembaga Zakat Selangor yang diperolehi anak beliau sejak kira-kira setahun lalu.

Anak kepada bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu itu, Rismawati Said, 57, berkata, bantuan diterima merupakan bantuan bulanan sewa rumah dan barangan keperluan bapanya seperti lampin dewasa dan beberapa barangan lain.

Said Zahari“Akak pun tak boleh berkerja sebab tak sihat. Seorang anak lelaki akak juga tak boleh berkerja sebab kalau dia kerja siapa nak tolong akak angkat bapak dan sebagainya. Akak tak berdaya,” kata Rismawati dalam kunjungan Selangor Kini di kediaman beliau di Bandar Puncak Alam di sini, baru-baru ini.

Jelas beliau bapanya juga sudah tidak lagi mampu menulis berikutan mengalami lumpuh tangan kanannya.

“Bapak dah tak boleh buat apa lagi seperti menulis dan lain-lain sebab dia cuma boleh gunakan tangan sebelah kiri sahaja. Kebanyakkan masa dia cuma makan, tidur dan baca buku. Apa-apa buku dia akan baca seperti sejarah dan lain-lain.

IMG_7423“Lain dari itu memang dah tak boleh. Nak sain autograf pun tak boleh. Kali terakhir dia sain autograf semasa buku memoir dia yang ke-2,” kata Rismawati lagi.

Tambah Rismawati, memoir ketiga Said yang bertajuk ‘Suara Bicara: Fragmen Memoir Said Zahari’ yang dilancarkan pada awal bulan ini boleh dibeli dengan menghubungi beliau di talian 018-255 0615.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Said Zahari pejuang kemerdekaan beri sumbangan besar

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 OGOS: Pejuang kemerdekaan bukan terdiri daripada suatu kelompok tertentu yang cuba ditonjolkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, sebaliknya pejuang kemerdekaan meliputi pelbagai golongan dan kelompok termasuk gerakan pekerja, petani, wartawan dan penulis di era penjajahan Inggeris dahulu.

Said Zahari“Menentang penjajahan tidak semestinya dengan senjata di medan peperangan tetapi ada juga penjajahan minda yang memerlukan kekuatan moral rakyat hari ini untuk bangkit melakukan perubahan.

“Individu seperti Said Zahari tentunya merupakan pencetus kepada kebebasan media untuk membina masyarakat boleh berfikir, berilmu, masyarakat boleh membaca dan sudah tentu bahan bacaan yang mahu didedahkan kepada masyarakat adalah bahan bacaan berkualiti tanpa dipengaruhi mana-mana parti politik.

“Beliau adalah seorang pejuang kerana memberi sumbangan besar dalam membina pemikiran rakyat Malaysia supaya mereka bebas dan mempunyai jiwa, fikiran yang merdeka dan dengan kekuatan ilmu ini menjadi asas membina asas masyarakat hari ini dan akan datang,” kata Mohamed Azmin kepada Selangor Kini di Pejabat Menteri Besar Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Said ZahariSaid Zahari, 87 tahun, sebelum negara mencapai kemerdekaan merupakan Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu yang lantang mengkritik penjajahan British dan membangkitkan semangat menentang British dalam diri masyarakat Melayu khususnya ketika itu.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, pada 1961 beliau mengetuai mogok kakitangan akhbar Utusan Melayu yang membantah cubaan Umno untuk mengambilalih akhbar paling berpengaruh ketika itu.

Tindakan Said mengetuai peristiwa yang dikenali dengan nama ‘Mogok Utusan’ itu menyebabkan beliau tidak dibenarkan kembali ke Malaysia selepas mengadakan lawatan ke Singapura bagi urusan kerja.

Beliau kemudiannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Singapura selama 17 tahun dan kembali menetap di Malaysia pada 1989 selepas permohonan beliau untuk balik ke Malaysia diluluskan Kerajaan Malaysia ketika itu.

EZY