Categories
NASIONAL

BERSIH 2.0 dakwa 4 DUN 1 Parlimen langgar akta pilihanraya

OLEH : AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 28 APR: BERSIH 2.0 mendakwa terdapat lima kesalahan melanggar Akta Pilihan Raya membabitkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen semenjak pembubaran DUN Sarawak sehingga 26 April 2016.

Empat DUN itu adalah Jepak, Marudi, Dudong dan Simanggang yang melibatkan kesalahan sebelum penamaan calon sementara Parlimen tunggal adalah Kapit selepas penamaan calon.

Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi gagal memastikan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) ini dijalankan secara bersih, bebas dan adil.

BERSIH 2.0“SPR bertanggungjawab penuh mengambil tindakan terhadap calon melanggar peraturan.

“Pada masa sama, SPR juga harus komited memastikan perkara sebegini tidak berulang,” katanya dalam sidang media di Pusat Pernigaan 8 Avenue, di sini hari ini.

Insiden di Dun Jepak melibatkan pemberian baja organik cap dacing di Rumah Panjang James Brooke dan poster ‘Undilah Calon PAS’ yang ditampal di kawasan No 228, Kampung Masjid.

Dun Muradi melibatkan kain rentang dengan tulisan ‘Undilah Barisan Nasional’ di kawasan Marudi pada 24 April 2016.

Dun Dudong pula menyaksikan calon BN, Tiong Thai King mengagihkan RM200 kepada 270 keluarga dibawah Poor Student’s Trust Funds (PSTF), satu inisiatif dibawah Kementerian Pelajaran di SJKC Thian Hua, Sibu Jaya

Sementara wakil SUPP di Dun Simanggang membuat laporan kepada Jabatan Pelajaran mengenai penglibatan dua orang guru dalam kempen pembangkang.

Namun, mereka sudah menafikannya dan tindakan wakil SUPP itu bertentangan dengan kebebasan berkempen seorang individu.

Bagi kesalahan tunggal selepas penamaan calon di Parlimen Kapit adalah pemberian bantuan khas oleh Timbalan Menteri Kemajuan Wilayah, merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Satu surat pekeliling dihantar kepada penduduk kawasan itu untuk menerima bantuan di Dewan Masyarakat Melayu, Bluteh Kapit jam 7.30 malam pada 26 April lalu.

Maria menjelaskan, pihaknya akan mengemukakan penemuan kesalahan itu kepada SPR pada Jumaat ini.

“Setakat ini kita belum mengemukakan kepada SPR kerana kita baru dapat maklumat berserta bukti daripada Pemantau Sarawak semalam.

“Kita akan cuba serahkan Jumaat ini,” katanya.

BERSIH 2.0 turut membidas tindakan menghalang masuk segelintir pimpinan politik dan aktivis ke Sarawak selain merayu kepada kesemua 1.14 juta pengundi di Sarawak untuk keluar mengundi supaya penipuan serta kecurangan pilihan raya dapat dihentikan.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.