Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 28 APR: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan kebimbangan ajaran sesat yang masih gagal dibanteras sepenuhnya di negeri itu.
Baginda bertitah, pengaruh individu, kumpulan sesat dan berkepentingan dikhuatiri merosakkan akidah serta amalan rakyat, bahkan suasana harmoni, perpaduan, kesatuan dan kerukunan hidup bermasyarakat juga terkesan.
“Terdapat ancaman daripada pihak tertentu yang berkepentingan terhadap umat Islam yang berpegang kepada Ahlus Sunnah Waljamaah.
“Begitu juga dengan fahaman ekstrim yang dikaitkan dengan pertubuhan tertentu di luar negara yang kini merebak dalam kalangan masyarakat Islam negara ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli merasmikan Program Multaqa Pegawai Masjid, Guru Takmir dan Guru KAFA peringkat Selangor 2016 di Bangunan SUK, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Baginda bertitah, tindakan pihak tertentu yang mempertikai fungsi dan peranan agensi bagi menguruskan umat Islam adalah amat mengecewakan.
“Situasi ini bertambah kompleks apabila perbezaan pendapat dalam kalangan ulama menyebabkan masyarakat keliru, terpengaruh dan terikutdengan fahaman tidak tepat,” titah baginda.
-NFN-