Categories
AGENSI SELANGOR

Ajaran sesat gerakan akhir zaman, Jais pantau penyebaran

SHAH ALAM, 27 JAN : Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memantau penyebaran ajaran sesat Gerakan Akhir Zaman (Gaza) yang didakwa mula disebarkan di negara ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata setakat ini Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) belum menerima sebarang aduan berhubung perkara itu di negeri ini.

“Ajaran sesat di Selangor banyak ia sentiasa berkembang dari satu masa ke satu masa. Ajaran sesar Gaza ini mungkin baharu atau datang daripada ajaran lama sebelum ini.

“Kita akan siasat perkara ini, saya sudah berbincang dengan pengarah Jais dan ketua polis negeri untuk menyiasat perkara, kemudian baru kita ambil tindakan susulan jika ada,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perutusan Pengerusi Mais dan Pelancaran Platform K-Guam di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sebelum ini, tular mengenai kumpulan berasal dari Indonesia yang diberi nama Gaza itu mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah dalam mimpinya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: 47 kes ajaran sesat dikesan sejak Januari tahun lalu

SHAH ALAM, 28 OKT: Sebanyak 47 kes pemujaan bertentangan Islam dilaporkan di seluruh negara antara Januari 2020 hingga September lalu, kata menteri hal ehwal agama.

Daripada jumlah itu, sebanyak 33 kes dikesan tahun lalu manakala baki antara Januari hingga September tahun ini, jelas Idris Ahmad seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata langkah bagi mengatasinya termasuk bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam menyelidik ajaran dan doktrin meragukan.

“Kita juga mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup dengan kumpulan terbabit,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Kita turut melaksanakan kajian menyeluruh sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.”

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Pari) berhubung jumlah ajaran sesat yang dilaporkan sepanjang 2020 dan sehingga suku ketiga tahun ini selain usaha mengatasinya.

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Doktrin palsu agama Islam: Ibu Yati, dua individu mengaku tidak salah

SHAH ALAM, 28 JULAI: Tiga individu termasuk bekas wartawan, Wan Norhayati Wan Alias atau lebih dikenali sebagai Ibu Yati mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor hari ini atas pertuduhan menjelaskan doktrin palsu berkaitan agama Islam termasuk melalui Facebook, antara Disember tahun lepas hingga Februari tahun ini.

Ketiga-tiga tertuduh Wan Norhayati, 42, Noorafiza Ahmad, 46, dan Abdul Hamid Yeop Zainnuddin, 60, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

Wan Norhayati dan Noorafiza masing-masing menghadapi tiga dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 iaitu menjelaskan doktrin yang bertentangan dengan hukum syarak.

Abdul Hamid pula menghadapi dua pertuduhan di bawah seksyen yang sama serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 kerana mempersendakan ayat al-Quran.

Di bawah Seksyen 7 Enakmen tersebut, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun, denda RM5,000 atau enam sebatan atau kombinasi kesemua hukuman itu.

Di bawah Seksyen 9 Enakmen yang sama, sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Wan Norhayati dan Noorafiza dituduh melakukan kesemua kesalahan itu pada 2 Disember hingga 2 Februari lepas menggunakan akaun Facebook masing-masing, sementara Abdul Hamid pula kira-kira pukul 9 malam pada 2 Februari di Taman Dato Razali, Kampung Melayu Ampang dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassim dan kesemua tertuduh diwakili Peguam Wan Amir Akram Zainal Abidin.

Mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM11,000 kepada Wan Norhayati, RM5,000 kepada Noorafiza dan RM9,000 kepada Abdul Hamid dengan masing-masing dua penjamin dan kesemua mereka perlu melapor diri di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat serta dilarang memuat naik apa-apa status dalam media sosial.

Kes bagi Wan Norhayati dan Noorafiza akan disebut semula pada 2 November ini manakala Abdul Hamid pada 18 Jan 2022.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais tubuh jawatankuasa khas siasat ajaran sesat

SHAH ALAM, 23 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat ajaran sesat dan pegangan palsu termasuk syiah.

Pengarahnya menjelaskan tindakan itu untuk meneliti semua aspek ajaran yang sudah difatwa dan masih aktif di negeri ini, lapor Harian Metro.

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata jawatankuasa berkenaan juga berperanan menilai tabiat serta lingkungan tokoh ajaran terbabit untuk tindakan susulan.

“Ketika saya dilantik menerajui Jais, kita adakan jawatankuasa ini antaranya untuk melihat kemungkinan cadangan pindaan fatwa yang berkaitan.

“Selain itu, ia bagi menilai semula pendekatan lebih menyeluruh dan menyusun tindakan penguatkuasaan dan susulan lainnya,” katanya.

Mohd Shahzihan menambah terdapat 43 ajaran yang difatwa sesat di Selangor setakat ini dengan 14 daripadanya masih aktif.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor: Ancaman pihak tertentu rosakkan akidah umat Islam

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 APR: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan kebimbangan ajaran sesat yang masih gagal dibanteras sepenuhnya di negeri itu.

Baginda bertitah, pengaruh individu, kumpulan sesat dan berkepentingan dikhuatiri merosakkan akidah serta amalan rakyat, bahkan suasana harmoni, perpaduan, kesatuan dan kerukunan hidup bermasyarakat juga terkesan.

IMG_20160428_125300“Terdapat ancaman daripada pihak tertentu yang berkepentingan terhadap umat Islam yang berpegang kepada Ahlus Sunnah Waljamaah.

“Begitu juga dengan fahaman ekstrim yang dikaitkan dengan pertubuhan tertentu di luar negara yang kini merebak dalam kalangan masyarakat Islam negara ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli merasmikan Program Multaqa Pegawai Masjid, Guru Takmir dan Guru KAFA peringkat Selangor 2016 di Bangunan SUK, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Baginda bertitah, tindakan pihak tertentu yang mempertikai fungsi dan peranan agensi bagi menguruskan umat Islam adalah amat mengecewakan.

“Situasi ini bertambah kompleks apabila perbezaan pendapat dalam kalangan ulama menyebabkan masyarakat keliru, terpengaruh dan terikutdengan fahaman tidak tepat,” titah baginda.

-NFN-

Asal bukan ajaran sesat, bebas ceramah di Selangor


Tiada halangan penceramah dan cendekiawan agama dari luar berdakwah di Selangor.

Categories
SELANGOR

JAIS: 35 ajaran sesat di Selangor

Oleh: AFIX REDZUAN

SUNGAI BULOH, 1 JUL: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan gerakan yang menyebarkan doktrin ajaran sesat dan mampu mengancam keamanan negeri.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim, berkata 35 ajaran difatwa dan diwartakan sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar oleh Jabatan Mufti Selangor.

pengarah jais a“Sebanyak 21 ajaran dikenalpasti masih aktif, manakala 14 lagi tidak bergerak secara aktif.

“Antara ajaran yang difatwakan menyeleweng adalah Tarikat Al-Hasaniah, ajaran Ahmadiah/Qadyani, Azhar Wahab dan fahaman Wahdatul Wujud ,” katanya ketika berucap di Masjid Saujana Utama, di sini.

Katanya, daerah Kuala Selangor turut tidak terlepas daripada penyebaran doktrin ajaran sesat apabila JAIS mengenalpasti ajaran Millah Abraham sedang berkembang, bermula tahun 2014.

“JAIS akan bekerjasama dengan beberapa agensi penguatkuasaan bagi membenteras dan melumpuhkan ajaran ini hingga ke akar umbi.

“Ini bagi memelihara keharmonian dan kesucian agama Islam serta amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan kitar,” tegasnya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

JAIS kesan 3 ajaran sesat di Kuala Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 24 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjaya mengenal pasti sekurang-kurang tiga ajaran sesat yang sedang berkembang di Kuala Selangor.

Pengarah JAIS, Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata tiga ajaran sesat itu adalah Millah Abraham, Qurtubul Haq dan Baitul Asmara.

ajaran-sesat“Bagi ajaran Millah Abraham, ulasan dan pandangan Jabatan Mufti sedang dirujuk bagi memastikan ajaran terbabit sesat dan menyeleweng.

“Manakala, bagi ajaran Baitul Asmara dan ajaran Qurtubul Haq, ia masih dalam semakan JAIS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulis Sultan Selangor Bersama Rakyat di Masjid Kampung Assam, Bukit Rotan, di sini, semalam.

Katanya, JAIS akan mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi lain bagi membenteras dan melumpuhkan ajaran berkenaan hingga ke akar umbi.

-NFN-

Sultan Selangor Dukacita Isu Ajaran Sesat

BANGI, 3 JULAI : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kekecewaannya mengenai penyebaran ajaran sesat di negara ini serta berharap umat Islam kembali bersatu untuk memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan agar terus dipandang mulia dan dihormati.

Dalam titahnya sempena Forum Perdana Ehawal Islam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bandar Baru Bangi di sini semalam, Baginda sebagai Ketua Agama Islam di Selangor tidak mahu ajaran-ajaran sesat itu meresapi minda generasi muda di sekolah, Institusi Pengajiaan Tinggi dan seterusnya di dalam masyarakat.

“Amalan-amalanĀ  yang sedang aktif di negara ini di antaranya adalah seperti mengkafirkan para sahabat Rasulullah SAW, mendakwa guru mereka sebagai nabi dan menghalalkan beberapa perkara yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunah Waljamaah amat membimbangkan Beta kerana ajaran tersebut bergerak secara halus melalui pertubuhan tertentu.

“Beta berharap fatwa-fatwa yang diwartakan dapat dikuatkuasakan secara berkesan dengan mengambil kira peruntukan undang-undang sedia ada.

“Beta mengingatkan perkara ini kerana Beta tidak mahu melihat umat Islam berpecah dan menjadi lemah sedangkan umat Islam pada masa sekarang ini berhadapan dengan bermacam-macam masalah umpamanya isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT), isu murtad, pluralisme agama, penghinaan dan kritikan terhadap agama Islam serta lain-lain yang boleh membawa kepada kehancuran sekiranya tidak ditangani dengan segera dan berhemah,” titahnya.

Titahnya, peristiwa-peristiwa yang berlaku di negara-negara yang bergolak di dunia akhir-akhir ini memperlihatkan kepada kita bahawa perpecahan tidak akan membawa kepada sebarang kebaikan sebaliknya ia akan mencetuskan huru-hara dan seterusnya kemusnahan kepada bangsa dan negara yang berkenaan.

Umat Islam juga perlu meningkatkan tahap pengetahuan, kefahaman dan penghayatan ajaran Islam sebagai benteng kukuh supaya tidak tergelincir ke dalam kancah ajaran dan penyelewengan daripada ajaran Islam sebenar.

“Di kesempatan ini, sukacita Beta mengajak seluruh umat Islam di negeri ini agar bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala keran kita masih dapat mengekalkan keamanan dan hidup dalam suasana harmoni, sejahtera dan dapat bekerjasama serta memahami kehendak dan keperluan di antara pelbagai kaum di negeri ini.

“Justeru, kita semua hendaklah berusaha mengukuhkan lagi perpaduan yang masih terjalin khususnya hubungan di natara umat Islam sendiri dan masyarakat yang lain agar kita dapat terus hidup dalam keadaan aman dan damai,” titahnya.

Baginda Sultan Selangor juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak yang akan datang tidak lama lagi kepada seluruh umat Islam khususnya yang berada di Selangor.