Categories
NASIONAL

Empat anak kapal warga Malaysia diculik kumpulan bersenjata

KOTA KINABALU, 2 APRIL: Empat anak kapal warga Malaysia diculik kumpulan lelaki bersenjata warga Filipina di perairan Semporna di pantai timur Sabah, pukul 7 malam semalam.

Memetik laporan mStar Online, lapan lelaki bersenjata warga Filipina menggunakan bot laju menyerbu kapal milik Malaysia, MV MASFIVE 6 yang berlayar di Pulau Ligitan dan menahan mereka sebelum menculik.

ligitan dan sipadanMereka kemudiannya membawa empat tebusan itu menggunakan bot laju menuju ke perairan Filipina.

Anak kapal warga asing yang lain iaitu tiga warga Myanmar dan dua warga Indonesia dibiarkan tanpa sebarang kecederaan.

Menurut laporan awal, walaupun pihak polis masih belum membuat pengesahan, keempat mereka yang diculik dikenal pasti sebagai Wong Teck Pang, 41; Wong Hung Song, 44; Wong Teck Chi, 39; dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

Kapal itu dalam perjalanan pulang ke Tawau selepas menghantar kayu balak ke Manila.

Identiti kumpulan bersenjata terbabit masih belum diketahui sama ada mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf yang menuntut wang tebusan AS$1 juta bagi membebaskan sekumpulan anak kapal warga Indonesia yang diculik Isnin lalu.

Seramai 10 anak kapal warga Indonesia dari kapal tunda milik Taiwan berdekatan diculik semasa kapal mereka menghampiri perairan Sabah.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.