Categories
NASIONAL

Guan Eng sahut cabaran debat Rahman Dahlan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyahut cabaran debat terbuka dikemukakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkenaan isu pembelian tanah di Taman Manggis.

Katanya, walaupun pihaknya tidak mempunyai dokumen lengkap, namun beliau sanggup berdepan Abdul Rahman dengan hanya menggunakan fakta.

“Untuk bahaskan isu Taman Manggis ini daripada mula hingga habis, saya rela berdepan dengan Menteri sungguh pun beliau ada semua maklumat.

guan eng parlimen 03“Sungguh pun kami tidak ada dokumen, kami berani berdepan kerana tiada apa yang nak disembunyikan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cabaran debat dilontarkan Abdul Rahman sebelum ini berkenaan isu tanah Taman Manggis yang didakwa sudah ditukar milik dan dijual kepada pihak ketiga.

Pada masa sama, Guan Eng turut memaklumkan Abdul Rahman diberikan peluang memilih lokasi dan tarikh debat itu akan diadakan.

“Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke diberikan tanggungjawab untuk menjadi pihak bertanggungjawab mengaturkan semua urusan debat itu bagi mewakili DAP.

“Saya hanya tunggu masa dan tempat yang beliau ( Abdul Rahman) cadangkan. Saya minta Anthony Loke aturkan semua aturcara perbahasan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga turut mempersoalkan tindakan Abdul Rahman yang didakwa memadamkan sesetengah maklumat dalam pendedahan dibuatnya itu.

“Kenapa padam nama, kenapa tidak mahu tunjukkan, adakah ini rahsia rasmi kerajaan juga? Kalau bongkar, bongkarkan habis-habislah. Saya tunggu Abdul Rahman Dahlan,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.