Categories
SELANGOR

SAD-C agen pupuk kesedaran bahaya Aedes

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 APRIL: Skuad Anti Denggi Cilik (SAD-C) ditubuhkan bagi memupuk kesedaran masyarakat berkenaan bahaya Aedes dan denggi khususnya kepada masyarakat sekitar Dun Selat Kelang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Kelang, Dr Halimah Ali, berkata penganjuran program sedemikian memberi penekanan terhadap usaha berterusan Kerajaan Negeri memerangi denggi di seluruh Selangor.

Lebih istimewa katanya, skuad (SAD-C) dianggotai kanak-kanak dijadikan medium penyampai kepada masyarakat luar terhadap bahaya denggi.

12592572_1421860284497073_7894217908050900155_n“SAD-C ini memainkan peranan penting bagi membantu Kempen Sifar Aedes Dun Selat Klang. Kita menggunakan medium kanak-kanak sebagai ejen yang dinamakan Skuad Anti Dengggi Cilik.

“Kita terapkan pendidikan berkenaan pembiakan nyamuk Aedes supaya kanak-kanak dapat bercerita kepada keluarga masing-masing di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad SAD-C di Tadika Dun Selat Klang di Serambi Kanan Masjid Darul Muttaqin, Sungai Udang pada 3 April lalu.

Pada majlis itu, seramai 197 kanak-kanak dari tujuh buah tadika sekitar DUN Selat Kelang dipilih menyertai skuad berkenaan.

Dr Halimah berharap pelaksanaan program itu dapat diteruskan dengan memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak secara konsisten bagi memastikan strategi sifar denggi dapat dilaksanakan.

“Kita mengambil sikap ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ kepada kanak-kanak sejak dari kecil lagi tentang langkah pencegahan denggi yang mudah,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.