Categories
KENYATAAN MEDIA

Halangan masuk Sarawak pencabulan demokrasi

OLEH DR AFIF BAHARDIN

Saya telah dihalang dari memasuki Sarawak pada 14 April 2016 sekitar jam 12:30 pagi setibanya saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Saya telah menerima notis dari pihak Jabatan Imigresen yang menafikan kebenaran saya untuk masuk ke negeri Sarawak. Alasan yang diberi hanyalah nama saya disenaraikan untuk tidak dibenarkan masuk berdasarkan arahan pihak atasan.

Amat mendukacitakan, di dalam kita menuju status negara maju dan lebih daripada 53 tahun pembentukan Persekutuan Malaysia, pimpinan tertinggi Barisan Nasional di Sarawak terpaksa menggunakan taktik bacul dan pengecut ini untuk menafikan hak saya untuk bersama dengan jentera Angkatan Muda Keadilan dan Parti Keadilan Rakyat dalam menghadapi Pilihanraya Negeri Sarawak.

Dr AfifTindakan pimpinan Barisan Nasional Sarawak ini juga membuktikan bahawa mereka ini sebuah regim yang akan tidak teragak-agak untuk merampas hak rakyatnya apabila kedudukan dan kekuasaan mereka terancam. Tindakan mereka ini juga menjadi bukti bahwa mereka telah gagal menghayati prinsip tertubuhnya negara Malaysia. Halangan ini ternyata satu pencabulan ke atas sistem demokrasi dan menafikan hak saya sebagai pimpinan politik untuk berkempen secara terbuka bagi mengajak rakyat Sarawak untuk mengundi parti yang diwakili saya.

Sebagai anak muda Malaysia, tanah air saya bukan hanya lagi Semenanjung Malaysia, tetapi termasuk jua Sabah dan Sarawak. Rasa tanggungjawab saya sebagai politisi muda hari ini bukan hanya berbicara soal kepentingan rakyat di Semenanjung tetapi juga berbicara tentang hak rakyat di Sarawak dan Sabah. Parti Keadilan Rakyat juga bertanggungjawab untuk mengajak seramai mungkin rakyat di seluruh negara, terutamanya dari Sarawak dan Sabah untuk bersama dalam arus perubahan.

Kami ingin menyeru kepada semua anak muda dan rakyat negeri Sarawak untuk melakukan perubahan di Pilihan Raya Negeri Sarawak yang bakal menjelang. Ini adalah peluang yang terbaik untuk rakyat menunjukkan bahawa kita mahukan perubahan dan tiada tempat lagi untuk sebuah regim zalim terus berkuasa di negara ini. Pilihan Raya Negeri ini adalah medan terbaik untuk kita menyelamatkan Sarawak dan Malaysia dari pemerintah yang korup dan zalim.

*Dr Afif adalah Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Exco Pulau Pinang

Leave a Reply

Your email address will not be published.