Categories
SELANGOR

Himpunan Mansuh GST, Undur Najib berjaya dapat sokongan rakyat

OLEH: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 3 APR: Himpunan Mansuh GST, Undur Najib diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam, dianggap berjaya dengan kehadiran peserta dalam keadaan aman dari awal hingga akhir.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata himpunan diadakan itu mencapai objektifnya dan maklum balas diterima daripada umum amat memberangsangkan memperlihatkan sokongan ketara rakyat.

IMG_20160402_174052“Sangat positif walaupun kehadiran mungkin sederhana tetapi kalau kita lihat di media sosial, respon dan viral diserta bersama gambar, video dan sebagainya amat tinggi.

“Bagi saya ia respon sangat baik,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Himpunan dihadiri kira-kira 3,000 orang berlangsung lebih kurang tiga jam itu adalah manifestasi bantahan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa melakukan pelbagai penyalahgunaan kuasa dan kemerosotan ekonomi termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membebankan.

Berikutan sambutan baik terhadap himpunan berkenaan, Exco Kerajaan Negeri itu tidak menolak program lain sepertinya dijalankan selepas ini.

“Mungkin akan ada lagi, kita akan tengok (keperluan),” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia itu.

CP2A0089Himpunan Mansuh GST, Undur Najib diadakan sempena setahun pelaksanaan sistem cukai itu dengan rakyat menyatakan bantahan terhadapnya turut dihadiri mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Pemimpin lain antaranya ialah Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Perhimpunan diserikan dengan laungan ‘Undur Najib dan Rosmah’, ‘Bebas Anwar’, ‘Mansuh GST’ dan ‘Rakyat Bangkit’.

Antara kandungan ucapan pimpinan politik Pakatan menyentuh soal dana RM2.6 bilion, perbelanjaan dan percutian perdana menteri serta penderitaan rakyat yang terpaksa membayar GST.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.