Categories
SELANGOR

Kes Denggi minggu ke-13 catat penurunan

KUALA LUMPUR 11 APR: Kedudukan demam denggi di seluruh negara untuk tempoh dari 27 Mac hingga 2 April, mencatat penurunan lima kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sejumlah 2,130 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh berkenaan, berbanding 2,135 kes pada minggu sebelumnya.

AEDES 1Beliau, bagaimanapun berkata tujuh negeri menunjukkan peningkatan kes denggi berbanding minggu sebelumnya, iaitu Selangor dengan 35 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Sarawak (12), Sabah (8), Negeri Sembilan (2) manakala Perlis dan Pahang masing-masing satu kes.

Jumlah kumulatif kes denggi dari Januari hingga 2 April 2016 juga menunjukkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus kepada 37,190 kes berbanding 34,144 kes bagi tempoh yang sama pada 2015, katanya.

Dr Noor Hisham berkata hasil pemantauan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bilangan kematian dilaporkan pada minggu ke-13 adalah sebanyak dua kematian yang berlaku di negeri Selangor.

“Pada tahun ini, sebanyak 87 kematian dilaporkan berbanding 108 kematian bagi tempoh sama tahun 2015,” katanya dalam kenyataan media.

Peratusan lokaliti wabak untuk minggu ke-13 juga menunjukkan penurunan sebanyak 6.6 peratus kepada 792 daripada 848 lokaliti pada minggu sebelumnya, dengan jumlah lokaliti ‘hotspot’ turut berkurangan kepada 177 berbanding 192 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Selangor mencatat lokaliti ‘hotspot’ tertinggi dengan 139 lokaliti diikuti Johor (28), Perak (4), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (3), Negeri Sembilan (2) serta Terengganu dengan satu lokaliti.

Dr Noor Hisham berkata KKM akan mengadakan aktiviti penguatkuasaan bagi pembiakan Aedes bermula 11 April , selama dua bulan.

“Tumpuan aktiviti ini adalah di lokaliti ‘hotspot’ dan premis kediaman.

“Aktiviti penguatkuasaan di tapak binaan diteruskan kerana hasil pemantauan KKM dari Januari hingga Mac 2016 mendapati daripada 2,234 tapak binaan diperiksa, 743 tapak binaan ditemui ada pembiakan Aedes,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.