Categories
NASIONAL

Korupsi, skandal 1MDB : Sampai bila Najib mahu berdiam diri?

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 APR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal memberikan sebarang penjelasan lanjut berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan syarikat beban hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pelbagai persoalan tidak diperjelaskan secara umum, sekaligus mengundang persepsi buruk masyarakat luar terhadap kepimpinan negara.

Najib-WSJ-1MDB“Pelbagai persoalan belum terjawab memerlukan Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri memberi penjelasan terperinci pada kadar segera.

“Memandangkan imej dan kredibiliti negara semakin dipersoal (banyak pihak) akibat siasatan yang dilancar di negara asing berkaitan kewangan 1MDB,” katanya dalam kenyataan.

Pembentangan laporan siasatan 106 mukasurat mengenai 1MDB oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini mendedahkan 1MDB kini berdepan lambakan hutang sebanyak RM50 bilion.

Jumlah tersebut mengejutkan banyak pihak lebih-lebih lagi operasi syarikat cetusan Perdana Menteri itu baru tujuh tahun beroperasi.

Pada masa sama, media paling berpengaruh Wall Street Journal dan pihak berkuasa antarabangsa terus mendedahkan pelbagai laporan dan dakwaan skandal kewangan syarikat itu.

Bagaimanapun sehingga kini, Najib belum mengambil sebarang pendirian terhadap dakwaan salahlaku yang dilemparkan pihak luar terhadap tatakelola kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri.

“Adakah Najib akan membersihkan nama beliau serta nama negara dengan menyaman semua media antarabangsa terutamanya Wall Street Journal yang sering membuat pelbagai dakwaan berat berkaitan isu 1MDB?”

“Rakyat Malaysia malah juga dunia menantikan jawapan dan penjelasan Perdana Menteri,” Kata Wan Azizah yang juga Presiden KEADILAN.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.