Categories
NASIONAL

Kredibiliti Pengerusi PAC dipersoal didakwa ‘sunting’ laporan sebenar

SHAH ALAM 19 APR: Kredibiliti Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Datuk Hasan Arifin dipersoal kerana didakwa melakukan ‘penyuntingan’ serius terhadap laporan sebenar PAC yang diluluskan ahli jawatankuasa itu.

Dalam kenyataan media bersama Ahli Parlimen Pembangkang dalam PAC, berkata tindakan Hasan memotong ayat dipersetujui mesyuarat PAC merupakan tindakan melanggar peraturan mesyuarat dan menimbulkan kecurigaan terhadap niat pengerusi.

Kenyataan media bersama itu dikeluarkan Timbalan Pengerusi PAC, Dr. Tan Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong; Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk kamarul Baharin Abbas; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Ken, dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Taqiyuddin Hassan.

PAC dianggotai oleh 14 Ahli Parlimen, iaitu sembilan penyokong kerajaan daripada Barisan Nasional dan lima daripada pembangkang KEADILAN, Amanah, DAP dan PAS.

“Jadi kami menyeru supaya Datuk Hasan Arifin memperbetulkan Laporan PAC serta merta melalui satu kertas pembetulan kepada Parlimen,” kata kenyataan media bersama itu.

1MDBSelain itu, anggota PAC Pembangkang mahu Hasan tidak lagi berdolak-dalik seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu dalam laporan Ketua Audit Negara berhubung siasatan terhadap skandal mega 1MDB.

Mereka juga menggesa Pengerusi PAC menerbitkan kesemua Hansard yang tertunggak sekurang-kurangnya di dalam laman web Parlimen kerana laporan PAC mengandungi Hansard prosiding PAC yang merakamkan segala soalan, jawapan dan pembentangan oleh saksi dipanggil jawatankuasa.

Mereka juga mahu supaya Pengerusi PAC memanggil mesyuarat secepat mungkin untuk membincangkan laporan terbaru melibatkan isu pembatalan perjanjian International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dengan 1MDB.

“Ini berlaku kerana 1MDB memberikan gambaran palsu bahawa pelan rasionalisasi syarikat berjalan lancar dan 1MDB tidak memerlukan sebarang bantuan daripada kerajaan untuk menyelesaikan pinjamannya yang melebihi RM50 juta.

“Akan tetapi Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan Kerajaan Malaysia menanggung kesemua obligasi 1MDB yang tidak dapat diselesaikan oleh syarikat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin, berkata penyuntingan beberapa ayat dalam laporan akhir Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak menjejaskan keseluruhan laporan itu.

Katanya ayat berkenaan dikeluarkan kerana ia berstatus belum jelas atau dalam risikan serta bukan untuk pengetahuan awam.

“Perkara ini dimaklumkan ketika pembentangan laporan kepada semua anggota PAC pada 7 April lepas.

“Memasukkan pernyataan yang tidak jelas atau dalam risikan adalah sesuatu yang prejudis dan semua anggota PAC seharusnya memberi keyakinan kepada pihak berkuasa membuat siasatan lebih lanjut sebelum membuat kenyataan,” katanya dalam kenyataan media.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.