Oleh: HAFIZAN TAIB
KLANG, 19 APR – Hebat Abadi Sdn Bhd (Hebat Abadi) berharap kerja pengurusan dan pembersihan sampah di Sungai Klang berjalan lancar mengikut perancangan serta membuahkan hasil positif dalam tempoh setahun.
Pengurus Besarnya, Ramli Mohd Tahir, berkata operasi terbabit perlu dijalankan seperti disasarkan Kerajaan Negeri demi mewujudkan persekitaran sekeliling yang bersih selain memenuhi perancangan untuk Smart Selangor.
“Sasaran terbabit mampu direalisasikan dengan bantuan juga kerjasama pihak berkuasa antaranya Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung penguatkuasaan di sepanjang Sungai Klang serta kerja pembersihan dijalankan setiap hari.
“Kerajaan Negeri sendiri mengambil serius terhadap isu ini termasuk kesedaran masyarakat bagi memelihara persekitaran. Diharapkan dalam tempoh setahun, kita akan dapat membuat banyak perubahan berbanding sebelumnya,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyertai lawatan ke kawasan terbabit bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Raja Shahreen Raja Othman dan rombongan.
Kerajaan Negeri menerusi MBI melantik Hebat Abadi bagi kerja pengurusan dan pembersihan itu supaya masalah pembuangan bahan di sekitar Sungai Klang diatasi selain pembangunan dapat dijalankan di situ.
Hebat Abadi adalah anak syarikat Kerajaan Negeri yang dipertanggungjawabkan mengendalikan tiga ‘log boom’ di Sungai Pinang, Sungai Kandis dan Seksyen 23, Shah Alam dengan operasi itu mula digerakkan, pada 15 Februari lalu.
Ramli berkata, operasi Hebat Abadi dijalankan setiap hari dengan sampah diangkut akan dikumpul untuk dibuang di tapak pelupusan sampah di Jeram.
“Kerja pembersihan kita jalankan dan kini pada fasa pertama di sekitar Klang iaitu 21 kilometer dan Shah Alam 20 kilometer.
“Dalam tempoh dua bulan ini, kita sudah memasang perangkap sampah (waste trap) di 30 tempat sebelum kunci air bagi memastikan tiada sampah keluar terus ke anak sungai,” katanya.
Sementara itu, Raja Shahreen berkata, Hebat Abadi diharap mampu mengatasi masalah pembuangan sampah yang berlaku sejak sekian lama di kawasan Sungai Klang.
“Demi mewujudkan kawasan persekitaran yang bersih di kawasan ini, kita perlu mengatasi masalah pembuangan sampah sepanjang Sungai Klang dan diharap operasi dijalankan Hebat Abadi akan membawa perubahan seperti diinginkan,” katanya.
Selain Hebat Abadi, JPS turut menjalankan operasi pengurusan sampah di kawasan ‘log boom’ tertentu di lokasi berkenaan.
-NFN-