Categories
SELANGOR

Lif rosak jejas rutin kehidupan penduduk

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 4 APR: Masalah kerosakan lif seolah menjadi perkara biasa buat penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 Shah Alam kerana sering kali berlaku.

Namun, penduduk di sini meletakkan harapan tinggi kepada pihak pengurusan Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) untuk segera membaiki masalah kerosakan lif dengan lebih efisyen supaya tidak mendatangkan masalah.

YB Dato' Iskandar periksa lif di Kg Baru Hicom (ASRI) (1)Suri Rumah, Norliza Nazri, 35 berkata anak lelaki beliau berusia 10 tahun pernah terperangkap selama hampir setengah jam berseorangan dalam lif sebelum dikeluarkan penduduk disitu pada 30 Mac lalu.

“Lif di sini sering kali rosak tidak tentu masa, kadang kala berfungsi kadang kala tidak. Ketiga-ketiga lif mula rosak pada 30 Mac lalu itu saya ingin menghantar anak ke sekolah dan dia terperangkap di dalam lif di tingkat 16.

“Memandangkan pengurusan lambat sampai, penduduk di sini yang membantu mengumpil pintu lif secara manual hampir setengah jam.

“Diharap pihak pengurusan membaiki keadaan lif di sini agar tidak berlaku lagi sebarang perkara tidak diingini,” katanya kepada SelangorKini.

Pekerja Kilang, Abdul Maad Ibrahim, 55, berkata beliau juga merupakan penghuni di tingkat 16 dan terpaksa turun naik tangga walaupun beliau sendiri mempunyai masalah sakit lutut.

“Kadang kala saya terpaksa ambik cuti sebab tidak larat untuk turun naik tangga ke tingkat 16 memandangkan usia yang semakin lanjut.

“Di pangsapuri ini terdapat tiga buah lif, sejak 30 Mac lalu ketiga-tiga lif tidak berfungsi. Bagaimana kami yang sudah meningkat usia untuk turun naik jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya.

Manakala, Suri rumah, Kugilavani, 35, berkata beliau yang kini sedang sarat mengandung perlu gagahkan diri untuk menggunakan tangga kerana perlu menghantar dan mengambil anak dari sekolah.

“Walaupun pihak pengurusan menjalankan kerja baik pulih namun masalah ini tetap berulang selepas beberapa hari atau beberapa minggu,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.