Categories
AGAMA

Mimbar Jumaat : Umat Muafakat Negeri Berkat

Khutbah Jumaat 1 April 2016

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sesungguhnya orang yang termulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Marilah kita berterusan mengamalkan segala titah perintah Allah SWT dan ajaran Rasul SAW.

Dengan mentaati segala perintah Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, insyaAllah kita akan dirahmati oleh Allah SWT.

Semoga kita sentiasa beroleh kejayaan samada di dunia mahupun di akhirat nanti, InsyaAllah.

Hadirin sidang Jumaat sekalian,

salamPepatah Melayu ada mengatakan, “bulat air kerana pembetong, bulat kata kerana muafakat”, “bersatu teguh bercerai roboh”. Pepatah ini amat berkait rapat dengan semangat untuk mengajak para anggota masyarakat supaya sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama, bertolak ansur dan tolong menolong antara satu dengan yang lain.

Budaya ini amat penting bagi melahirkan satu masyarakat yang saling menyayangi sesama sendiri dan pada masa yang sama boleh menjauhi segala anasir yang boleh memecah belahkan perpaduan dan kesatuan dikalangan mereka.

Sehubungan dengan itu maka mimbar pada hari ini akan menyampaikan satu khutbah yang bertajuk “UMAT MUAFAKAT NEGERI BERKAT”

Sidang hadirin yang berbahagia,

Muafakat akan tercapai hasil wujudnya semangat kerjasama dan perasaan sehati sejiwa di kalangan anggota masyarakat. Keadaan ini hanya boleh berlaku apabila sikap anggota masyarakatnya berwawasan, bertujuan, bercita-cita tinggi, berkeinginan, dan memiliki fikrah yang sama sahaja akan mampu melahirkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan bertoleransi.

Oleh yang demikian semua pihak yang berada di mana-mana posisi, agensi, institusi, komuniti, kelompok, atau persatuan hendaklah sentiasa mengutamakan penghayatan nilai-nilai murni dalam kehidupan demi mencapai permuafakatan yang mantap bagi menjamin keutuhan dan kesatuan umat.

Maka untuk mengekalkan hubungan permuafakatan sesama anggota masyarakat, hendaklah bersifat dengan sifat-sifat mahmudah iaitu sifat terpuji dan meninggalkan segala adab, akhlak, tatalaku serta sifat-sifat mazmumah iaitu sifat-sifat keji dalam diri masing-masing.

Dua situasi yang bertentangan ini iaitu keadaan baik dan keadaan buruk akan sentiasa bersaing antara satu sama lain. Sekiranya segala nilai-nilai mulia tadi tidak dilakukan secara ikhlas dan berterusan maka akan wujudlah perpecahan, pertelingkahan, perbalahan, pergeseran dan perseteruan.

umat-islamBagi pihak yang mengharapkan terlaksananya pemuafakatan, kedamaian, keharmonian dan ketenangan perlu bersungguh-sungguh mengamalkan tingkah laku dan adab yang baik.

Hendaklah sentiasa bersikap baik sangka, menjauhi amalan fitnah, dan penyebaran berita yang tidak benar, sentiasa berwaspada dengan pelbagai maklumat yang sangat mudah disebarkan melalui media sosial dan sentiasa berusaha meningkatkan ukhuwah serta mengukuhkan silaturrahim.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekelian

Bagi mencapai permuafakatan, kita hendaklah menumpu dan mendahulukan isu utama yang disepakati bersama untuk dilaksanakan.

Manakala isu yang boleh memecah belah permuafakatan, yang lahir daripada sikap, pandangan atau perbezaan pendapat hendaklah ditinggalkan. Muafakat juga akan wujud sekiranya para anggota masyarakat tidak memperbesarkan perkara-perkara furuk dan khilaf.

Manakala apa sahaja unsur yang boleh membawa kepada penyatuan hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan berterusan.

Oleh yang demikian marilah kita sentiasa berbaik sangka, bermanis muka, bertegur sapa, membuang sikap mengata nista dan mengadu domba, sentiasa mengelak persengketaan bagi memastikan keharmonian dan ketenangan berkekalan dalam masyarakat.

Kata-kata Syed Rasyid Redha: “Marilah kita bekerjasama dalam perkara yang telah disepakati, dan kita saling maaf memaafkan pada perkara yang kita berbeza pendapat” sangat wajar untuk dihayati bersama.

Sesungguhnya Allah SWT sentiasa merahmati umat yang saling menyayangi antara satu dengan yang lain. Kerahmatan ini bakal diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia dan akan turut juga dirasai oleh pelbagai makhluk Allah yang lain.

BersalamanAgama Islam memang amat membenci perpecahan. Islam setiasa menggalakkan umatnya supaya sentiasa berpegang kepada tali Allah. Hanya dengan berpegang teguh kepada tali Allah umat akan dapat merasai kedamaian dan kasih sayang.

Bagi umat Islam nilai-nilai murni tersebut terkandung dalam peraturan syariat Islam. Semua manusia sentiasa dituntut supaya mengamalkan nila-nilai murni dalam kehidupan.

Firman Allah SWT yang terkandung dalam surah al-Anbiya ayat 107;

Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.

Subhanallah, sesungguhnya pelaksanaan syariat Islam bakal melimpahkan ’rahmat’ serta kasih sayang Allah SWT terhadap seluruh alam dunia ini. Berbagai bentuk kerahmatan akan dirasai oleh umat manusia, sama ada mereka yang beriman atau sebaliknya.

Inilah sifat pemurah dan kasih sayang Allah SWT kepada umat manusia dan segala makhluk yang lain. Sudah sewajarnya kita selaku penganut agama Islam sentiasa menunjukkan contoh teladan yang terbaik untuk dijadikan ikutan para anggota masyarakat.

Jelaslah menunjukkan bahawa jika para anggota masyarakat di sesebuah negeri sentiasa beramal soleh yang bertunjangkan syariat Islam, maka ianya bakal mengundang rahmat. Dalam konteks masyarakat kita, rahmat juga disebut sebagai berkat.

Berkat atau rahmat ini akan diberikan oleh Allah SWT dalam pelbagai bentuk. Sebahagiannya diberikan dalam bentuk; kesihatan, pencapaian, kejayaan, penghasilan, kelebihan, kecukupan, kegembiraan, ketenangan, kedamaian, keharmonian dan keseronokan.

Perkara ini telah pun berlaku sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW, para sahabat baginda serta khalifah-khalifah Islam begitu juga pada zaman khalifah Umar Abdul Aziz, dimana para rakyatnya telah bersatu dan bermuafakat, maka Allah SWT telah menurunkan kerberkatannya sehingga harta yang terkumpul dalam perbendaharaannya sentiasa bertambah.

Rakyatnya hidup dengan tenang, damai dan sentosa. Mereka redha dan gembira hasil permufakatan dan kerjasama semua pihak meliputi; rakyat, ulama dan khalifah atau pemerintah.

Maka, Islam selaku agama yang memberi rahmah hendaklah dizahirkan oleh para penganutnya dengan rupa dan imej yang baik, menyenangkan dan mampu menarik para anggota masyarakat untuk menerimanya sebagai satu cara hidup yang bakal membahagiakan mereka.

Kita hendaklah melakukan apa saja kebaikan kepada semua anggota masyarakat dengan penuh rasa ukhuwwah. Suasana sebegini akan menjanjikan turunnya berkat yang akan melimpahi bumi di mana penduduknya sentiasa bermufakat.

Keadaan ini turut digambarkan melalui sebuah hadis daripada Abdullah Bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Orang yang menyayangi akan disayangi oleh Allah. Jadilah kamu orang yang menyayangi di bumi dan kamu akan disayangi (dirahmati) oleh Allah, Rahmat itu berasal dari perkataan Ar-Rahman. Barangsiapa yang mendekatkannya maka Allah mendekatinya, barangsiapa yang menjauhkannya maka Allah menjauhinya”. (Riwayat at-Tirmizi).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian

Sesungguhnya amat jelas kebaikan yang akan diperolehi apabila rakyat di sesebuah negeri sentiasa bermuafakat. Oleh yang demikian marilah kita melakukannya dengan jujur dan ikhlas. Utamakanlah perpaduan serta hindarkan perpecahan atau persengketaan.

Bersatulah atas perkara pokok yang disepakati. Mengakhiri khutbah kali ini, umat Islam amatlah dituntut supaya;

  • Berpegang kepada tali Allah untuk bersatu berdasarkan syariat Allah SWT
  • Umat Islam hendaklah sentiasa menjauhi segala anasir yang boleh memecahbelahkan kesatuan masyarakat dan sentiasa menjalankan usaha yang boleh membawa kepada pemuafakatan demi mewujudkan masyarakat yang bersatu.
  • Umat Islam hendaklah menghayati dan mengamalkan nilai-nilai mulia ketika bergaul dan berkomunikasi serta menjauhi perkataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain.
  • Umat Islam wajib memantapkan muafakat. Allah SWT akan menurunkan rahmat dan berkatnya samada dari langit ataupun dari bumi untuk kebaikan semua manusia dan makhluk lain seluruhnya.

Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah, lalu menyebabkan kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan, serta bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. (Surah al-Anfal: 46).

KHUTBAH KEDUA

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Mimbar Jumaat sekali lagi berpesan bahawa Islam mengajar kita supaya bersikap sederhana dalam segala amalan.

Pada masa yang sama kita juga disaran supaya menjauhi sebarang bentuk fahaman sesat dan perbuatan ekstrem yang kesannya akan menjejaskan keharmonian, perpaduan dan keselamatan ummah dan Negara.

Kita amatlah dituntut agar menampilkan kemuliaan akhlak, sikap dan keperibadian tinggi kerana Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak dan sebagai rahmat bagi seluruh umat dan sekalian alam.

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan dibawah naungan dan pimpinan raja kami sebagai ketua
agama Islam di negeri ini.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, terimalah amalan kami, kukuhkanlah perpaduan kami, luaskanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada bala bencana dan ujian-Mu yang berat supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Ya Allah, kami pohon kehadratmu, mantapkanlah pegangan kami menurut ajaran Ahli Sunnah Waljamaah dan peliharalah kami daripada amalan dan akidah yang menyeleweng dan sesat seperti fahaman Syiah, Qadyani serta lain-lain fahaman.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk mendirikan solat fardhu lima waktu, menunaikan zakat dan kefarduan yang lain serta mewakafkan dan menginfakkan harta khususnya untuk Perbadanan Wakaf Negeri Selangor (PWS) dan Tabung Amanah Pembangunan Islam Selangor (TAPIS).

Dengan amalan ini ya Allah, berkatilah hidup dan luaskanlah rezeki kami dengan ganjaran pahala yang berkekalan hingga ke hari akhirat.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.