Categories
AGAMA

Mimbar Jumaat :  Hargai nyawa, beradablah di jalan raya

Intisari Khutbah Jumaat : 22 April 2016

Nyawa adalah tanda hidupnya manusia. Selagi seseorang itu masih bernyawa, maka selagi itulah ia berpeluang meneruskan kehidupan di dunia ini.

Menghargai nyawa bermaksud memelihara dan menjaganya sebaik mungkin dengan mengelakkan diri daripada terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perbuatan atau tindakan yang boleh menghilangkan nyawa atau dengan kata lain menyebabkan kematian.

taman-kubur-2Tetapi apabila nyawa sudah tiada, maka berakhirlah episod kehidupan manusia. Memberi nyawa dan mencabut nyawa adalah hak mutlak Allah SWT yang tiada sesiapapun boleh mempertikaikannya.

Lantaran itu Allah SWT boleh memendekkan umur seseorang dengan kehendak dan kuasa-Nya jugalah ia boleh memanjangkan umur seseorang.

Firman Allah SWT dalam surah al- Nahl ayat 70: “Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua bersifat kebudakbudakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa”.

Justeru, adalah wajar sebagai manusia bersyukur kepada Allah SWT kerana menghidupkan kita melalui nyawa yang diberikannya.

Dengan nyawa ini, kita dapat menikmati indahnya kehidupan, menikmati keindahan alam, merasai sedapnya makanan dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita.

Justeru, kita wajib menghargai nyawa sama ada diri sendiri mahupun nyawa orang lain.

Berdasarkan laporan Jabatan Keselamatan Jalan Raya, salah satu punca kematian adalah akibat kemalangan.

kemalanganDalam laporan itu, lebih 6,000 orang mati akibat kemalangan jalan raya pada 2015 dengan purata 18 kematian sehari atau satu kematian setiap 1 jam 20 minit.

Berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan, kemalangan jalan raya adalah punca keempat kematian di negara kita dan jika tidak dibendung, kemalangan jalan raya boleh menjadi punca utama kematian menjelang 2020.

Pada 2015, sebanyak 6,706 kematian akibat kemalangan jalan raya dan daripada jumlah itu, 4,203 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Kajian dibuat Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia menunjukkan 30 peratus daripada kematian mambabitkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah golongan berumur 16 ke 25 tahun yang berbangsa Melayu dan daripada jumlah itu, 40 peratus daripadanya tidak mempunyai lesen memandu.

Perbuatan menimbulkan mudarat dan berisiko tinggi yang boleh membawa kepada kematian seperti menunggang motosikal secara merbahaya, tidak mematuhi peraturan dan adab serta tidak memiliki lesen memandu
adalah tindakan tidak menghargai nyawa sedangkan Allah SWT memerintahkan kita supaya memelihara nyawa dan tidak menjerumuskan diri kepada kebinasaan.

Sepertimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 195: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.

Jalan raya adalah satu kemudahan awam yang menghubungkan kita dari satu tempat ke satu tempat sama ada dari bandar ke desa atau sebaliknya.

Research project Traffic Jam and Queuing Assistant - the basis: Active Cruise Control with Stop&Go function (10/2010)

Ia bukanlah tempat untuk kita menunjukkan kehebatan atau keberanian ketika memandu kenderaan, bahkan menjadi tanggungjawab sebagai pengguna supaya menjaga dan memelihara kemudahan itu serta menjadikannya sebagai medan selamat dan bukannya punca kecelakaan.

Tidak dapat dinafikan punca utama kemalangan jalan raya di negara ini adalah disebabkan perilaku dan sikap pengguna itu sendiri yang menyebabkan kerugian harta benda, kecederaan, kecacatan anggota badan, bahkan boleh membawa kepada kematian.

Faktor utama kemalangan sehingga kehilangan nyawa adalah;

1. Sikap manusia seperti memandu dalam keadaan mengantuk dan kurang tumpuan, kurang berhati-hati ketika memandu dalam cuaca buruk, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit serta berlumba secara haram terutamanya penunggang motosikal.

2. Mekanikal kenderaan tidak diselenggara dengan baik untuk memastikan keselamatan di jalan raya.

3. Keadaan jalan raya berlopak dan merbahaya kepada pengguna

Menjadi tanggungjawab pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan ditetapkan seperti mematuhi had
laju, memakai tali pinggang dan topi keledar, mematuhi lampu isyarat, menghormati pemandu lain, tidak mementingkan diri sendiri dan lain-lain.

Semua hal itu adalah tanggungjawab kita sebagai pengguna jalan raya supaya tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Umat Islam juga diseru untuk:

1. Sama-sama menghargai nyawa diberikan Allah SWT dengan mengelak diri daripada melakukan perkara yang boleh mengancam keselamatan dan memudratkan kehidupan

2. Beradab dan bersopan ketika berada di jalan raya dengan mematuhi undang-undang dan peraturan

3. Jangan mementingkan diri sendiri ketika menggunakan jalan raya bahkan hendaklah menghormati dan bertolak ansur terhadap pengguna lain

4. Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT ketika memulakan perjalanan dengan berkenderaan.

-nR-

Categories
AGAMA

Mimbar Jumaat : Negeri sejahtera dan dirahmati Allah

Intisari Khutbah Jumaat: 8 April 2016

Firman Allah SWT di dalam Surah Saba’ ayat 15; “Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (lalu dikatakan kepada mereka):

“Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!”.

SOLATUntuk mencapai kemakmuran, keselesaan dan keamanan dalam kehidupan, Allah SWT menceritakan dalam Surah Saba’, kisah sebuah negeri bernama Saba’ yang didiami satu kaum di Selatan Yaman pernah mengecapi segala kemakmuran, kekayaan, keamanan, dengan kurniaan rahmat daripada Allah SWT.

Mereka mendaki tangga tamadun tinggi sehingga diberi nikmat mengendalikan air hujan mengalir dari sebelah laut di Selatan dan di Timur dengan membina sebuah tasik diapit dua buah bukit.

Di permukaan lembah antara dua bukit itu mereka membina sebuah empangan yang dapat menakung air banyak bagi keperluan mereka sehingga memperoleh punca bekalan air amat besar dan terkenal dengan nama Empangan Ma’arib.

Di negeri itu juga terdapat kebun terletak di kanan dan kiri melambangkan ia sebuah negeri subur, mewah, makmur dan penuh kenikmatan.

Berdasarkan kisah negara Saba’ itu, beberapa perkara penting boleh diambil sebagai panduan untuk menjadikan negeri ini sentiasa konsisten sebagai sebuah negeri sejahtera dan mendapat keredhaan Allah SWT.

Oleh itu beberapa langkah berikut wajarlah dilaksanakan:

1. Hendaklah melaksanakan syariat Islam secara syumul dan menyeluruh disetiap peringkat sama ada dari segi ekonomi, sosial, politik, pendidikan dan perundangan. Ini juga matlamat sebenar kita hidup di atas muka bumi Allah sebagai khalifah berkewajipan mendaulatkan perintah Allah dalam segenap lapangan kehidupan. Sesungguhnya, melaksanakan perundangan serta dasar syariat akan membawa rahmat kepada seluruh alam dan memberikan petunjuk kepada manusia.

2. Para pemimpin mestilah bersikap adil dalam melaksana polisi dan berani membuat keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat serta amanah dengan kuasa dimiliki. Pemimpin juga harus bersikap jujur, memiliki minda tajam, berilmu dan berpengetahuan luas dalam ilmu dunia dan akhirat serta berkemahiran dalam mengurus dan mentadbir negeri.

3. Hendaklah memelihara dan menutup ruang kemaksiatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Sesungguhnya usaha pencegahan unsur kemungkaran dan kemaksiatan akan mengundang keamanan dan kesejahteraan hidup. Sebaliknya, membiarkan kemaksiatan berleluasa dalam negeri akan mendatangkan bala dan kesusahan terhadap kehidupan seluruh rakyat.

4. Hendaklah melipat gandakan usaha menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa atau keturunan. Selain itu, keadilan yang meletakkan neraca iman dan taqwa sebagai keutamaan dalam menolak kepentingan berdasar keturunan, bangsa dan warna kulit akan menarik rahmat dan keamanan.

5. Mestilah menjadi manusia bertaqwa dalam segenap aspek kehidupan, mensyukuri nikmat pemberian Allah dengan banyak melakukan kebajikan sesama makhluk, bersikap taa’wun (tolong-menolong dalam kebajikan) dengan menunaikan zakat, memperbanyakkan sedekah, taat kepada pemimpin soleh, penyayang kepada golongan fakir dan miskin dan menghormati hak orang lain atas dasar kemanusiaan seterusnya mengikat kesatuan sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

6. Selain itu, pemimpin dan rakyat juga mestilah meletakkan pergantungan tinggi terhadap Allah SWT dengan saling bekerjasama dan bermesyuarat demi meraih rahmat dan keberkatan disisi Allah SWT sepertimana firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 159 :

“…dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Maka apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya”.

Dengan panduan-panduan ini, maka umat Islam hendaklah:

1. Menyedari dan memahami bahawa kita memikul tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini

2. Memberi sokongan kepada Ulama’ dan pemimpin untuk saling bekerjasama dalam menegakkan keadilan dan mendirikan syariat Allah.

3. Berwaspada bahawa keingkaran terhadap perintah Allah akan mengundang kemurkaan dan bencana daripada Allah SWT.

4. Sentiasa bertanggungjawab memelihara perpaduan, menjaga keamanan dan kesejahteraan hidup bernegara

Categories
AGAMA

Mimbar Jumaat : Umat Muafakat Negeri Berkat

Khutbah Jumaat 1 April 2016

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sesungguhnya orang yang termulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Marilah kita berterusan mengamalkan segala titah perintah Allah SWT dan ajaran Rasul SAW.

Dengan mentaati segala perintah Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, insyaAllah kita akan dirahmati oleh Allah SWT.

Semoga kita sentiasa beroleh kejayaan samada di dunia mahupun di akhirat nanti, InsyaAllah.

Hadirin sidang Jumaat sekalian,

salamPepatah Melayu ada mengatakan, “bulat air kerana pembetong, bulat kata kerana muafakat”, “bersatu teguh bercerai roboh”. Pepatah ini amat berkait rapat dengan semangat untuk mengajak para anggota masyarakat supaya sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama, bertolak ansur dan tolong menolong antara satu dengan yang lain.

Budaya ini amat penting bagi melahirkan satu masyarakat yang saling menyayangi sesama sendiri dan pada masa yang sama boleh menjauhi segala anasir yang boleh memecah belahkan perpaduan dan kesatuan dikalangan mereka.

Sehubungan dengan itu maka mimbar pada hari ini akan menyampaikan satu khutbah yang bertajuk “UMAT MUAFAKAT NEGERI BERKAT”

Sidang hadirin yang berbahagia,

Muafakat akan tercapai hasil wujudnya semangat kerjasama dan perasaan sehati sejiwa di kalangan anggota masyarakat. Keadaan ini hanya boleh berlaku apabila sikap anggota masyarakatnya berwawasan, bertujuan, bercita-cita tinggi, berkeinginan, dan memiliki fikrah yang sama sahaja akan mampu melahirkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan bertoleransi.

Oleh yang demikian semua pihak yang berada di mana-mana posisi, agensi, institusi, komuniti, kelompok, atau persatuan hendaklah sentiasa mengutamakan penghayatan nilai-nilai murni dalam kehidupan demi mencapai permuafakatan yang mantap bagi menjamin keutuhan dan kesatuan umat.

Maka untuk mengekalkan hubungan permuafakatan sesama anggota masyarakat, hendaklah bersifat dengan sifat-sifat mahmudah iaitu sifat terpuji dan meninggalkan segala adab, akhlak, tatalaku serta sifat-sifat mazmumah iaitu sifat-sifat keji dalam diri masing-masing.

Dua situasi yang bertentangan ini iaitu keadaan baik dan keadaan buruk akan sentiasa bersaing antara satu sama lain. Sekiranya segala nilai-nilai mulia tadi tidak dilakukan secara ikhlas dan berterusan maka akan wujudlah perpecahan, pertelingkahan, perbalahan, pergeseran dan perseteruan.

umat-islamBagi pihak yang mengharapkan terlaksananya pemuafakatan, kedamaian, keharmonian dan ketenangan perlu bersungguh-sungguh mengamalkan tingkah laku dan adab yang baik.

Hendaklah sentiasa bersikap baik sangka, menjauhi amalan fitnah, dan penyebaran berita yang tidak benar, sentiasa berwaspada dengan pelbagai maklumat yang sangat mudah disebarkan melalui media sosial dan sentiasa berusaha meningkatkan ukhuwah serta mengukuhkan silaturrahim.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekelian

Bagi mencapai permuafakatan, kita hendaklah menumpu dan mendahulukan isu utama yang disepakati bersama untuk dilaksanakan.

Manakala isu yang boleh memecah belah permuafakatan, yang lahir daripada sikap, pandangan atau perbezaan pendapat hendaklah ditinggalkan. Muafakat juga akan wujud sekiranya para anggota masyarakat tidak memperbesarkan perkara-perkara furuk dan khilaf.

Manakala apa sahaja unsur yang boleh membawa kepada penyatuan hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan berterusan.

Oleh yang demikian marilah kita sentiasa berbaik sangka, bermanis muka, bertegur sapa, membuang sikap mengata nista dan mengadu domba, sentiasa mengelak persengketaan bagi memastikan keharmonian dan ketenangan berkekalan dalam masyarakat.

Kata-kata Syed Rasyid Redha: “Marilah kita bekerjasama dalam perkara yang telah disepakati, dan kita saling maaf memaafkan pada perkara yang kita berbeza pendapat” sangat wajar untuk dihayati bersama.

Sesungguhnya Allah SWT sentiasa merahmati umat yang saling menyayangi antara satu dengan yang lain. Kerahmatan ini bakal diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia dan akan turut juga dirasai oleh pelbagai makhluk Allah yang lain.

BersalamanAgama Islam memang amat membenci perpecahan. Islam setiasa menggalakkan umatnya supaya sentiasa berpegang kepada tali Allah. Hanya dengan berpegang teguh kepada tali Allah umat akan dapat merasai kedamaian dan kasih sayang.

Bagi umat Islam nilai-nilai murni tersebut terkandung dalam peraturan syariat Islam. Semua manusia sentiasa dituntut supaya mengamalkan nila-nilai murni dalam kehidupan.

Firman Allah SWT yang terkandung dalam surah al-Anbiya ayat 107;

Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.

Subhanallah, sesungguhnya pelaksanaan syariat Islam bakal melimpahkan ’rahmat’ serta kasih sayang Allah SWT terhadap seluruh alam dunia ini. Berbagai bentuk kerahmatan akan dirasai oleh umat manusia, sama ada mereka yang beriman atau sebaliknya.

Inilah sifat pemurah dan kasih sayang Allah SWT kepada umat manusia dan segala makhluk yang lain. Sudah sewajarnya kita selaku penganut agama Islam sentiasa menunjukkan contoh teladan yang terbaik untuk dijadikan ikutan para anggota masyarakat.

Jelaslah menunjukkan bahawa jika para anggota masyarakat di sesebuah negeri sentiasa beramal soleh yang bertunjangkan syariat Islam, maka ianya bakal mengundang rahmat. Dalam konteks masyarakat kita, rahmat juga disebut sebagai berkat.

Berkat atau rahmat ini akan diberikan oleh Allah SWT dalam pelbagai bentuk. Sebahagiannya diberikan dalam bentuk; kesihatan, pencapaian, kejayaan, penghasilan, kelebihan, kecukupan, kegembiraan, ketenangan, kedamaian, keharmonian dan keseronokan.

Perkara ini telah pun berlaku sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW, para sahabat baginda serta khalifah-khalifah Islam begitu juga pada zaman khalifah Umar Abdul Aziz, dimana para rakyatnya telah bersatu dan bermuafakat, maka Allah SWT telah menurunkan kerberkatannya sehingga harta yang terkumpul dalam perbendaharaannya sentiasa bertambah.

Rakyatnya hidup dengan tenang, damai dan sentosa. Mereka redha dan gembira hasil permufakatan dan kerjasama semua pihak meliputi; rakyat, ulama dan khalifah atau pemerintah.

Maka, Islam selaku agama yang memberi rahmah hendaklah dizahirkan oleh para penganutnya dengan rupa dan imej yang baik, menyenangkan dan mampu menarik para anggota masyarakat untuk menerimanya sebagai satu cara hidup yang bakal membahagiakan mereka.

Kita hendaklah melakukan apa saja kebaikan kepada semua anggota masyarakat dengan penuh rasa ukhuwwah. Suasana sebegini akan menjanjikan turunnya berkat yang akan melimpahi bumi di mana penduduknya sentiasa bermufakat.

Keadaan ini turut digambarkan melalui sebuah hadis daripada Abdullah Bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Orang yang menyayangi akan disayangi oleh Allah. Jadilah kamu orang yang menyayangi di bumi dan kamu akan disayangi (dirahmati) oleh Allah, Rahmat itu berasal dari perkataan Ar-Rahman. Barangsiapa yang mendekatkannya maka Allah mendekatinya, barangsiapa yang menjauhkannya maka Allah menjauhinya”. (Riwayat at-Tirmizi).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian

Sesungguhnya amat jelas kebaikan yang akan diperolehi apabila rakyat di sesebuah negeri sentiasa bermuafakat. Oleh yang demikian marilah kita melakukannya dengan jujur dan ikhlas. Utamakanlah perpaduan serta hindarkan perpecahan atau persengketaan.

Bersatulah atas perkara pokok yang disepakati. Mengakhiri khutbah kali ini, umat Islam amatlah dituntut supaya;

  • Berpegang kepada tali Allah untuk bersatu berdasarkan syariat Allah SWT
  • Umat Islam hendaklah sentiasa menjauhi segala anasir yang boleh memecahbelahkan kesatuan masyarakat dan sentiasa menjalankan usaha yang boleh membawa kepada pemuafakatan demi mewujudkan masyarakat yang bersatu.
  • Umat Islam hendaklah menghayati dan mengamalkan nilai-nilai mulia ketika bergaul dan berkomunikasi serta menjauhi perkataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain.
  • Umat Islam wajib memantapkan muafakat. Allah SWT akan menurunkan rahmat dan berkatnya samada dari langit ataupun dari bumi untuk kebaikan semua manusia dan makhluk lain seluruhnya.

Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah, lalu menyebabkan kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan, serta bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. (Surah al-Anfal: 46).

KHUTBAH KEDUA

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Mimbar Jumaat sekali lagi berpesan bahawa Islam mengajar kita supaya bersikap sederhana dalam segala amalan.

Pada masa yang sama kita juga disaran supaya menjauhi sebarang bentuk fahaman sesat dan perbuatan ekstrem yang kesannya akan menjejaskan keharmonian, perpaduan dan keselamatan ummah dan Negara.

Kita amatlah dituntut agar menampilkan kemuliaan akhlak, sikap dan keperibadian tinggi kerana Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak dan sebagai rahmat bagi seluruh umat dan sekalian alam.

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan dibawah naungan dan pimpinan raja kami sebagai ketua
agama Islam di negeri ini.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, terimalah amalan kami, kukuhkanlah perpaduan kami, luaskanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada bala bencana dan ujian-Mu yang berat supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Ya Allah, kami pohon kehadratmu, mantapkanlah pegangan kami menurut ajaran Ahli Sunnah Waljamaah dan peliharalah kami daripada amalan dan akidah yang menyeleweng dan sesat seperti fahaman Syiah, Qadyani serta lain-lain fahaman.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk mendirikan solat fardhu lima waktu, menunaikan zakat dan kefarduan yang lain serta mewakafkan dan menginfakkan harta khususnya untuk Perbadanan Wakaf Negeri Selangor (PWS) dan Tabung Amanah Pembangunan Islam Selangor (TAPIS).

Dengan amalan ini ya Allah, berkatilah hidup dan luaskanlah rezeki kami dengan ganjaran pahala yang berkekalan hingga ke hari akhirat.

-nR-