Categories
SELANGOR

MPK rampas minuman keras RM18,000

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 7 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya merampas pelbagai jenis minuman keras dianggarkan bernilai RM18,000 di dua kedai di Pekan Kapar, kelmarin.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin, berkata serbuan dilakukan ekoran premis yang beroperasi sejak tiga hingga lima bulan lalu tidak mendapat kebenaran MPK dan Pejabat Daerah dan Tanah Klang.

YDP MPKKatanya, operasi dilakukan anggota penguatkuasa di kedai serbaneka 24 jam dan sebuah kedai dijadikan kedai minuman tidak jauh antara satu sama lain.

“Serbuan pertama sekitar jam 3.30 petang dilakukan di kedai serbaneka 24 jam dan kita merampas 310 botol minuman keras pelbagai saiz, jenama dan harga dengan nilai RM15,000.

“Serbuan kedua pula di kedai minuman membabitkan rampasan 188 botol minuman keras dianggarkan bernilai RM3,000,” katanya kepada pemberita.

Yasid berkata, kedua kedai berkenaan diberikan kompaun dan tempoh satu bulan untuk menuntut balik barang rampasan daripada MPK dengan syarat mereka mempunyai lesen serta dokumentasi lengkap.

“Jika dalam tempoh itu mereka gagal, MPK akan mengambil tindakan melupuskan barangan dirampas.

12974449_1181331805230899_3943331868542622877_n“Mengikut Undang-undang Kecil, pesalah boleh dikenakan kompaun berjumlah RM1000 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu dilakukan ekoran aduan orang ramai sebelum ini mendakwa botol minuman keras dibuang merata di sekitar Pekan Kapar hingga membahayakan keselamatan.

“Justeru, kita terus mengambil tindakan sedemikian kerana khuatir lebih banyak kedai menjual minuman keras tanpa lesen berkembang di kawasan ini,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.