Categories
NASIONAL

PAC: Prestasi kewangan 1MDB kurang memuaskan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi perlu bertanggungjawab terhadap kelemahan dan kekangan syarikat ekoran struktur pembiayaan modal serta prestasi kewangan kurang memuaskan.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam rumusan laporannya berkata, 1MDB bergantung kepada hutang menerusi pinjaman bank, bon dan sukuk sebagai modal syarikat dengan sebahagiannya mendapat jaminan kerajaan atau surat sokongan kerajaan.

PACApabila menyemak Laporan Akhir Jabatan Ketua Audit Negara dan menerima penjelasan 1MDB, secara rumusan PAC berpendapat terdapat kekangan dan kelemahan tertentu oleh pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB.

“Oleh itu, pihak agensi penguatkuasa diminta untuk membuat siasatan ke atas Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan lain-lain pengurusan berkaitan,” katanya.

Katanya, hutang itu bermula pada tahap RM5 bilion pada 2009 dan meningkat kepada RM42 bilion berbanding nilai aset sebanyak RM51 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014.

“1MDB membelanjakan RM2.4 bilion untuk pembayaran faedah ke atas hutang.

“Januari 2016, hutang 1MDB mencecah RM50 bilion berbanding aset RM53 bilion yang mana mereka membelanjakan sebanyak RM3.3 bilion untuk pembayaran faedah ke atas hutang antara 1 April 2014 hingga 31 Mac 2015.

1MDB“Adalah jelas bahawa tahap hutang dan pembayaran faedah terlalu tinggi berbanding aliran tunai syarikat,” katanya.

PAC berkata, 1MDB bergantung kepada pembiayaan semula untuk pembayaran balik hutang matang dan mengambil hutang baru yang antara lain digunakan untuk pembayaran faedah hutangnya sebelum ini.

Dalam penemuan PAC juga mendapati, 1MDB menghadapi masalah aliran tunai pada November 2014 selepas lima tahun beroperasi.

“Model perniagaan 1MDB terlalu bergantung kepada pinjaman ini amat membebankan syarikat dan tidak mampan kerana syarikat tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membiayai pinjaman serta kos operasinya,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.