Categories
SELANGOR

Penubuhan JKP, wujud persefahaman MPSJ dan penduduk

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 11 APR : Penubuhan Jawatankuasa Penduduk dilihat mampu mewujudkan persefahaman lebih terbuka antara penduduk dan pengurusan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Yang Dipertua MPSJ, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata JKP berfungsi menyalurkan pelbagai bentuk dasar diwujudkan Kerajaan Negeri dan MPSJ kepada penduduk setempat.

MPSJ“MPSJ merupakan PBT pertama melaksanakan JKP di bawah pentadbirannya. Ia bertujuan merapatkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk di samping mewujudkan semangat perpaduan berbilang bangsa.

“Malah kita berharap penubuhannya juga mampu menyalurkan maklumat dan penerangan tepat, telus serta terperinci tentang aktiviti, program dasar serta perkembangan semasa MPSJ kepada penduduk,” katanya.

Beliau bercakap pada Majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk dan Zon Bersih JKP peringkat MPSJ 2015 di Grand Ballroom The Place One City, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, ADN Subang Jaya, Hannah Yeo, ADN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, ADN Kinrara, Ng Sze Han dan ADN Sri Serdang,Noor Hanim Ismail.

Turut sama memeriahkan majlis, Ahli Parlimen Kelana Jaya,Wong Chen dan Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Min.

Nor Hisham berkata JKP banyak membantu MPSJ meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

“Kerjasama dua hala antara MPSJ dan penduduk setempat menerusi saluran JKP wajar dijalinkan secara erat lagi bagi membolehkan setiap perkhidmatan disalurkan itu dapat diterima setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Antara inisiatif jangka panjang diwujudkan JKP menerusi penganjuran program zon bersih dan program kesejahteraan masyarakat.

Ketika ini sebanyak 24 zon di bawah MPSJ bergiat aktif menyalurkan pelbagai bentuk maklumat kepada masyarakat untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai Smart State.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.