Categories
SELANGOR

Piala AFC: ‘Misi hidup mati’ Red Giants malam ini

SHAH ALAM 12 APR: Jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan menganggap perlawanan Piala AFC antara pasukan The Red Giants pada aksi berdepan Sheikh Jamal Dhc di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini sebagai misi ‘hidup mati’ pasukan itu.

Beliau berkata hanya kemenangan mengutip tiga mata penuh diperlukan untuk meneruskan baki perjuangan pasukan itu dalam piala itu.

Zainal mengharapkan kehadiran penyokong Selangor hadir ke stadium bagi menyemarakkan semangat juang pemain bagi memastikan misi mengutip tiga mata penting dapat direalisasikan.

ZAINAL RED GIANTSPada perlawanan pertama peringkat Kumpulan E dengan kelab Bangladesh terbabit pada 15 Mac lalu, skuad Zainal Abidin meraih kemenangan 4-3.

Selangor kini berada di kedudukan ketiga kumpulan selepas mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Dalam pada itu Kapten Selangor, Shahrom Abdul Kalam menyifatkan ketiadaan Mauro Olivi bukan masalah besar buat skuad pasukan itu.

Olivi direhatkan sementara daripada menyertai latihan dan perlawanan skuad itu oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas terbabit pergaduhan dengan Hafiz Kamal di dalam bilik persalinan selepas kekalahan 1-3 kepada FELDA United, Jumaat lalu.

Malah Shahrom menjelaskan pasukannya sudah menemui punca masalah prestasi yang membelenggu skuad itu selepas melakukan ‘post mortem’.

“Apa lebih penting ketika ini adalah kami perlu bermain sebagai satu pasukan dan bukannya bergantung kepada individu.

“Pasukan Selangor lebih penting dari individu dan kami perlu berjuang habis-habisan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.