Categories
SELANGOR

Piala AFC: Misi mesti menang Red Giants malam esok

OLEH : HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 25 APR: Tiada pilihan lain selain kemenangan dengan Selangor perlu menggunakan segala ruang terhidang bagi mengatasi Ceres La Salle FC dalam pertemuan saingan Piala AFC malam esok.

Menyedari perkara itu, Ketua Jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan, berkata misi memburu tiga mata disasarkan pasukan bimbingannya ketika turun beraksi dan yakin pemain sudah bersedia.

“Amat penting tiga mata dalam Piala AFC ini kerana jika gagal maka akan menempuh jalan susah untuk perlawanan terakhir menentang Tampines Rovers nanti.

PC AFC Selangor VS La Salle Crown Hotel KL (ASRI) (2)“Ia begitu mustahak bagi kita sebagai persediaan menentang pasukan dari Singapura itu atau melayakkan diri ke pusingan seterusnya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

The Red Giants mengikat kelab Filipina itu 2 – 2 dalam pertemuan di tempat lawan, 23 Februari lalu dan beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Selayang, malam esok, selaku tuan rumah adalah kesempatan terbaik bagi mereka meraih kemenangan.

Dua perlawanan terakhir dalam Liga Super menentang Pulau Pinang (1 – 0) dan PDRM (0 – 0) menjanjikan perkembangan positif dalam kem Selangor dan Zainal berharap pemain terus mempamerkan peningkatan.

“Dalam latihan kita sentiasa ingatkan pemain dan ia banyak membantu apabila bahagian pertahanan kini semakin baik dalam membendung serangan lawan.

“Ia amat berkesan dalam dua perlawanan terbaru Liga Super bila tidak dibolos dan saya harap mereka dapat teruskan dengan mencipta lebih peluang,’ katanya.

Jurulatih Ceres La Salle FC, Frank Muescan berkata, perlawanan menentang Selangor pasti mencabar kerana kedua-dua pasukan inginkan kemenangan.

“Ia pasti sengit kerana kedua-dua pasukan mahu menang dan mengutip tiga mata.

“Kedudukan dalam carta kini dengan perbezaan mata amat rapat dan sememangnya ia menghadirkan saingan sengit antara kita,” katanya yakin dengan kemampuan pasukan untuk mencipta kejayaan dalam pertemuan itu.

Seperti mana perlawanan awal di Filipina, Muescan berkata, Ceres La Salle FC turun dengan misi sama untuk menghampakan pasukan lawan.

“Selangor diakui kuat tetapi kita berusaha untuk menang kerana tiada yang mustahil dalam bolasepak,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.