Categories
SELANGOR

Penjenamaan semula PPAS berjaya tingkat pengunjung

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 APR: Penjenamaan semula Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sejak 2009 berjaya meningkatkan jumlah pengunjung ke perpustakaan awam seluruh Selangor.

Pengerusi PPAS, Dr Halimah Ali, berkata jumlah pengunjung Perpustakaan Raja Tun Uda dalam tempoh tiga tahun pertama sejak dibuka di Seksyen 13, iaitu bermula 21 Julai 2011 hingga Disember 2013 adalah seramai 1.5 juta.

PPASKatanya, pengunjung 2014 hingga 2015 di perpustakaan itu juga turut mencecah 1.5 juta, menyamai jumlah pengunjung untuk tempoh tiga tahun sebelumnya.

“Penjenamaan semula PPAS melibatkan perubahan menyeluruh meliputi kakitangan (perubahan hati, minda dan sikap), bangunan (selesa, cantik dan kondusif), koleksi bacaan (menarik, terkini dan berkualiti) dan program (kreatif, relevan dan berkesan).

“Walaupun berada di lokasi strategik di Seksyen 14 dengan kemudahan pengangkutan awam sebelum ini, jumlah pengunjung sebelum penjenamaan hanya 418,000 sahaja bagi tempoh 2008 hingga 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan di Majlis Perasmian Jom Baca 10 Minit di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib dan Pengarah PPAS, Mastura Muhamad.

PSX_20160425_114354Pada 2013, jumlah pengunjung di seluruh perpustakaan Selangor mencatatkan 1.4 juta, 2014 pula 1.5 juta sementara pada 2015 adalah 1.45 juta pengunjung.

Halimah berkata, penjenamaan semula PPAS bukan sahaja dijadikan model perpustakaan awam negeri lain malah turut membuka mata pihak luar.

“Baru-baru ini, PPAS mendapat permohonan latihan praktikum pelajar universiti Indonesia yang ingin mempelajari dan mengkaji konsep ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.