OLEH : NORHAYATI UMOR
SEMENYIH, 23 APR: Penubuhan Persatuan Komuniti Usahawan Selangor (PIKUS) diharapkan dapat membantu Kerajaan Negeri dalam mengembangkan usahawan negeri itu ke peringkat lebih tinggi.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata adalah menjadi tanggungjawab persatuan bersama Kerajaan Negeri untuk membantu usahawan menaikkan taraf sumber ekonomi mereka.
“Dengan adanya persatuan ini kita harapkan dapat bersama-sama Kerajaan Negeri membantu usahawan negeri ini.
“Kita mahu mereka ini terus berjaya dan menjadi pemangkin ekonomi Selangor,” katanya di Karnival Belia 2016, di pekarangan Tesco Semenyih, di sini.
Hadir sama Penyelaras Dun Khidmat Masyarakat, Hamidi A Hassan dan Pengerusi Persatuan Komuniti Usahawan Selangor, Muhammad Nazry Kamarudin.
Dr Daroyah berkata tahun ini, Kerajaan Negeri memberi peruntukan tambahan sebanyak RM 31 juta untuk memberi fokus bagi membantu golongan wanita, belia, mahasiswa, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) menjadi usahawan.
“Lima golongan ini kita mahu mereka tidak rasa tersisih dan kita mahu membantu mereka menjana pendapatan,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pengbabitan ahli PIKUS yang terdiri daripada 70 peratus usahawan belia dan wanita serta ibu tunggal.
“Oleh itu, kita mahu PIKUS menguar-uarkan kepada ahli mereka berhubung pelbagai manfaat atau bentuk bantuan yang disalurkan Kerajaan Negeri seperti Skim Mikrokredit Hijrah,” katanya.
EZY