Categories
SELANGOR

Selangor fokus tingkat kualiti hidup masyarakat

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

HULU SELANGOR, 23 APR : Kerajaan Negeri konsisten memperkenalkan pelbagai dasar dan program membantu usahawan meningkatkan jaringan ekonomi untuk berdaya saing di peringkat industri.

Exco Pembangunan, Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat bukan dinilai menerusi pemberian wang saku RM500 oleh kerajaan pemerintah semata-mata.

Sebaliknya kata Amirudin, program jangka panjang ke arah melahirkan usahawan proaktif perlu dilaksanakan secara konsisten bagi menambahbaik keperluan hidup kini.

Selangor maju“Untuk selesaikan masalah rakyat bukan hanya sewenang-wenangnya memberi RM500 sahaja atau dengan memberi hamper dari rumah ke rumah.

“Tetapi usaha itu perlu dibuat dengan membantu usahawan dari segi bantuan, modal, sistem keterbukaan dan fungsi inilah yang dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“Malah kita perlu lebih fokus untuk menambah nilai dari segi modal, perkhidmatan dan ilmu dalam bidang keusahawanan ini,” katanya ketika berucap pada Karnival Smart Selangor (KASS) 2016 di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali di sini,

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Mohd Zain A. Hamid, Pengarah Urusan Unilever Food Solution, Nusrat Perveen, dan Penolong Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Uyuni Ahamd Mohdi.

Amirudin berkata, usahawan juga diharap dapat melibatkan diri secara aktif menerusi program keusahawanan di seluruh negeri bagi membolehkan pengetahuan terhadap bidang perniagaan dapat diperluaskan.

“Program kita laksanakan ini adalah sebahagian daripada kesepakatan Kerajaan Negeri dan rakyat, tetapi untuk mencatatkan kecemerlangan dalam bidang ini tidak cukup hanya dengan produk atau keinginan.

“Apa yang lebih penting, usahawan juga perlu mempunyai pengetahuan kerana ilmu ini penting berdepan sebarang kemungkinan dalam perniagaan,” katanya.

Sementara itu, KASS 2016 adalah program pendedahan keusawanan yang juga sebahagian daripada Pelan Kehidupan Lestari Unilever bagi mewujudkan peluang perniagaan kepada golongan belia di seluruh negeri.

Ia juga dilaksanakan bagi melahirkan usahawan tempatan berkualiti dan membantu pemasaran produk koperasi serta mewujudkan peluang menjana ekonomi rakyat dalam bidang keusahawanan.

Antara pengisian program ini, peserta diberi pendedahan menerusi bengkel keusahawanan dan kecemerlangan, pameran industri kecil dan sederhana (IKS), food truck, gerai jualan, pameran pengantin dan cabutan bertuah.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.