Categories
SELANGOR

Selangor lulus pindaan Enakmen Lambang dan Nama

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 APRIL: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan pindaan Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) 1962 bagi menangani pemakaian darjah kebesaran tanpa pengiktirafan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pindaan dibuat bagi membendung dan mengenakan hukuman berat kepada mereka yang mengadakan upacara pemakaian darjah kebesaran dan pingat tidak diiktiraf khususnya di Selangor.

Katanya, enakmen terdahulu menetapkan denda dan hukuman yang terlalu rendah.

mb-jumaat sidang dewan 4“Berasaskan kepada maklumat yang boleh dipercayai, kebanyakan bintang dan darjah diperolehi secara tidak sah adalah mempunyai nilai amat tinggi sehingga boleh mencecah ratusan ribu ringgit.

“Sehubungan itu, denda minimum RM100,000 ke RM250,000 adalah dianggap sebagai patut dan seharusnya dianggap jumlah denda yang boleh mencegah daripada kesalahan penggunaan bintang dan darjah kebesaran tidak diiktiraf,” katanya ketika bacaan usul di DNS hari ini.

Pada 28 Mac lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan Kerajaan Negeri untuk membuat pindaan ekoran terdapat kegiatan membeli dan menjual darjah kebesaran tanpa pengiktirafan.

Mohamed Azmin berkata, jika hukuman denda dikenakan gagal dibayar, maka hukuman tiga tahun penjara wajar dikenakan sebagaimana diperuntukan di bawah Seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.