Categories
SELANGOR

Semak peruntukan MARRIS naik taraf sistem perparitan – MB

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kerajaan Persekutuan diminta menyemak semula peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) supaya ia dapat digunakan bagi menaik taraf sistem perparitan berhampiran jalan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata cadangan itu sudah dimaklumkan kepada Majlis Kewangan Negara memandangkan sebelum ini peruntukan Marris lebih tertumpu kepada kerja menaik taraf permukaan jalan.

mb kolam 2Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau beberapa kolam takungan air di Seksyen 13 Shah Alam, semalam.

“Saya sudah minta Kerajaan Persekutuan menyemak semula peruntukan Marris kerana sekarang peruntukan mereka untuk menaik taraf jalan tetapi tidak sistem perparitan (tepi jalan).

“Saya sudah bercakap kepada Majlis Kewangan Negara untuk melihat semula, tetapi buat sementara waktu kita kena pastikan kolam takungan diselenggara baik Jabatan Pengairan Saliran (JPS),” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, terdapat enam kolam takungan diberikan tumpuan khusus di Shah Alam ekoran banjir kilat sering berlaku di Seksyen 13 sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

mb kolam 1“Bila ada ‘back flow’ ia akan mengakibatkan banjir di kawasan Shah Alam.

“Air ini akan disimpan di sini untuk satu tempoh sebelum dilepaskan semula ke Sungai Damansara.

“Itulah fungsi kolam takungan sementara untuk menakung air supaya tidak melimpah ke jalan atau kawasan perumahan yang menyebabkan banjir kilat,” katanya.

Setakat ini, kerja-kerja penyelenggaraan lebih 300 kolam takungan di seluruh Selangor dipertanggungjawabkan kepada JPS Selangor dengan peruntukan RM80 juta bagi 2016.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.