Categories
SELANGOR

Surendran: Tiada kes isu papan iklan ‘Bebas Anwar’

OLEH : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 26 APR: Siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu papan iklan ‘Bebas Anwar hanya merupakan tindakan pembaziran sumber awam dan membuang masa polis.

Peguam yang mengiringi Mohamed Azmin ketika dirakamkan kenyataannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, N. Surendran berkata, hal ini berikutan tiada kesalahan jenayah dilakukan dalam isu papan iklan itu.

“Kenyataan Dato’ Menteri Besar dirakamkan mengenai papan iklan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa perkataan ‘tahanan politik’.

13096239_1104812239561477_5785383504854202990_n“Seluruh siasatan hanya mengenai papan iklan itu sahaja yang dikatakan melanggar atau kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 tetapi kita mendapati dalam kes ini langsung tidak ada apa-apa kesalahan jenayah diketahui dalam undang-undang Malaysia.

“Jadi kita kecewa masa polis dan sumber awam digunakan untuk penyiasatan tidak berasas seperti ini,” kata Surendran.

Sementara itu, bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan pula menyifatkan tindakan itu sebagai gangguan dan cubaan menakutkan rakyat bersuara.

“Ini perlu dihentikan sebab dalam kes ini kita tak tahu di mana kesalahannya. Penyiasatan ini tidak masuk akal sebenarnya dan saya fikir semua ini adalah gangguan terhadap awam dan ugutan rakyat bersuara,” kata Ambiga.

Ambiga turut membidas pihak berkuasa supaya terlebih dahulu menumpukan kes rasuah melibatkan pemimpin peringkat tertinggi negara sebelum bercakap mengenai Akta Hasutan.

Sebelum itu, Mohamed Azmin hadir di IPD Petaling Jaya selepas dipanggil pihak polis untuk dirakamkan kenyataannya.

Mohamed Azmin yang tiba di IPD Petaling Jaya pada jam 4.02 petang hanya selesai ditemuramah polis kira-kira jam 5.30 petang.

Turut hadir bersolidariti memberikan sokongan adalah, Exco-exco, Dato’ Iskandar Abdul Samad, Dr Daroyah Alwi, Amirudin Shari, Elizabeth Wong dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Shafiee Ngah.

Selain itu beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri yang turut hadir sama, Zuraida Kamaruddin, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Tian Chua, Ng Sue Lim, Dr Rani Osman, Hasbullah Ridzwan dan lain-lain.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.