Categories
NASIONAL

Tak profesional raih undi guna mee segera

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 APR: Tindakan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak menjadikan sekolah sebagai lokasi meraih undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang amat dikesali.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata lebih malang apabila murid disogok dengan mee segera yang bukan menu berkhasiat.

DaroyahKatanya, tindakan itu boleh dianggap sebagai rasuah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus mengambil tindakan menyiasat perkara itu.

“Walaupun pemberian itu hanya mee segera tetapi ia boleh dianggap rasuah apabila beliau meminta rakyat untuk mengundi beliau dan memastikan kemenangan di pihak BN.

“Belum tentu bantuan itu akan memberi kemenangan pada BN kerana pengundi pada masa kini semakin bijak dan cerdik untuk menilai wakil rakyat mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, katanya, tindakan BN yang mengambil peluang menggunakan sekolah sebagai medan politik dibantah sekerasnya.

“Di Selangor, wakil rakyat KEADILAN sendiri tidak dibenarkan masuk sekolah, malahan gambar Dato’ Menteri Besar kita dilarang dipampang di dalam sekolah, jadi tindakan BN yang masuk dan bekempen di kawasan sekolah sama sekali tidak profesional.

PR Sarawak1“Selain itu, sebagai seorang pemimpin adalah tidak wajar mengedarkan makanan segera yang tidak berkhasiat terutama kepada kanak-kanak sekolah.

“Aspek kesihatan dan makanan berkhasiat adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang dewasa bukan menggalakkannya lagi,” katanya.

Difahamkan, seorang calon BN mengedarkan bantuan kerajaan di SJK(C) Thian Hua, Sibu Jaya dan meminta mereka memastikan kemenangan calon BN dalam pilihan raya negeri itu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.