OLEH: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 3 APR: Pementasan Teater Atas Pokok (TAP) menepati dasar penting Gagasan Smart Selangor, ‘liveable city’ yang sedang giat dijayakan Kerajaan Negeri.
Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata teater yang bakal dipentaskan pada 16 dan 17 April itu mengangkat tema kelestarian alam sekitar.
Katanya, ia juga antara usaha menggiatkan aktiviti kebudayaan di Shah Alam yang diangkat sebagai Kota Seni.
“Sesi perbahasan menjunjung titah DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri yang baru berakhir juga menyaksikan ramai wakil rakyat membangkitkan isu kepentingan alam sekitar.
“Persembahan ini diharap dapat memberi kesedaran kepada semua akan kepentingan menjaga alam sekitar, apalagi di saat kita merasai kesan pemanasan global,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Turut serta ialah Pengarah Teater Atas Pokok, Shamsudin Othman atau Dinsman dan Pengurus Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Ahmad Nazri Tashriq Rahmat.
Bertempat di hadapan Kedai Kopi 2, Dataran Kemerdekaan Shah Alam, orang ramai boleh menonton TAP secara percuma.
Pementasan dengan kerjasama Seniman Paksi Rakyat itu dijadual bermula jam 9 malam dengan sebuah pokok angsana dijadikan pentas.
TAP mengangkat dua sajak Seniman Negara, Allahyarham Usman Awang iaitu Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandar’ dan Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar.
-nR-