Categories
SELANGOR

TAP: Tepati Smart Selangor, jayakan Kota Seni

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 APR: Pementasan Teater Atas Pokok (TAP) menepati dasar penting Gagasan Smart Selangor, ‘liveable city’ yang sedang giat dijayakan Kerajaan Negeri.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata teater yang bakal dipentaskan pada 16 dan 17 April itu mengangkat tema kelestarian alam sekitar.

Katanya, ia juga antara usaha menggiatkan aktiviti kebudayaan di Shah Alam yang diangkat sebagai Kota Seni.

TAP - AMIR“Sesi perbahasan menjunjung titah DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri yang baru berakhir juga menyaksikan ramai wakil rakyat membangkitkan isu kepentingan alam sekitar.

“Persembahan ini diharap dapat memberi kesedaran kepada semua akan kepentingan menjaga alam sekitar, apalagi di saat kita merasai kesan pemanasan global,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Turut serta ialah Pengarah Teater Atas Pokok, Shamsudin Othman atau Dinsman dan Pengurus Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Ahmad Nazri Tashriq Rahmat.

Bertempat di hadapan Kedai Kopi 2, Dataran Kemerdekaan Shah Alam, orang ramai boleh menonton TAP secara percuma.

Pementasan dengan kerjasama Seniman Paksi Rakyat itu dijadual bermula jam 9 malam dengan sebuah pokok angsana dijadikan pentas.

TAP mengangkat dua sajak Seniman Negara, Allahyarham Usman Awang iaitu Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandar’ dan Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar.

-nR-

Categories
SELANGOR

Teater Atas Pokok: Tarik minat professor teater Amerika, MBR

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 APR: Bakal dipentaskan dua minggu lagi, Teater Atas Pokok (TAP) sudah pun menempa pencapaian membanggakan.

Pengarahnya, Shamsudin Othman, berkata Malaysia Book of Records (MBR) sudah menerima jemputan pihak pengurusan TAP untuk merekodkan pementasan ini sebagai teater pertama seumpamanya dipentaskan di atas pokok.

Katanya, MBR kini dilaporkan dalam proses memberi pengiktirafan.

DINSMAN“Selain itu, terdapat sahabat kita turut menjemput seorang Professor Teater di Amerika yang juga merupakan penyunting sebuah jurnal teater Asia untuk hadir menonton.

“Dikatakan penyunting itu berminat kerana merasakan keunikan pementasan, dan kemungkinan, jika ada kita dapat ruang di dalam jurnal Asia itu sudah dikira baik,” katanya dalam sidang media, semalam.

Turut serta ialah Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dan Pengurus Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Ahmad Nazri Tashriq Rahmat.

Shamsudin atau lebih dikenali sebagai Dinsman mengakui berhadapan banyak cabaran mementaskan karyanya di atas pokok termasuk isu keselamatan dan teknikal.

TAP“Dalam isu keselamatan, kita sudah dapatkan nasihat syarikat konsultan yang beritahu dahan mana selamat, mana yang tidak, dan aspek lain.

“Dari segi teknikal, kita akan fokus kepada pencahayaan, begitu juga dengan audio kerana pemuzik juga dibayangkan akan berada di atas (pokok),” katanya.

-nR-