Categories
KENYATAAN MEDIA

Terpalit skandal menggemparkan, PM mesti letak jawatan

OLEH DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Pendedahan dikemukakan Wall Street Journal berkenaan pemindahan lebih AS$1 bilion (kira-kira RM4 bilion) ke lima akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara tahun 2011 dan 2014 benar-benar memeranjatkan dan penuh skandal tidak dapat diterima akal.

Azmin AliDitambah laporan terbaharu berkenaan skandal 1MDB oleh Australian Broadcasting Corporation dan The Australian, pendedahan terkini ini diibaratkan seperti panahan petir terhadap rakyat Malaysia yang masih belum pulih daripada skandal berterusan membabitkan RM2.6 bilion yang didedahkan sebelum ini.

Hakikat bahawa Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (Monetary Authority of Singapore) sedang menyiasat lebih kurang 40 bank dikaitkan dengan pemindahan dana berkenaan 1MDB menguatkan lagi tanggapan terhadap dakwaan yang tidak pernah disangkal sesiapapun berkenaan skandal itu.

Tidak syak lagi skandal ini akan lebih menambah buruk status kerajaan UMNO-BN pimpinan Najib Razak yang masih kekal berkuasa walaupun terdapat tuntutan bertali arus untuk Najib meletakkan jawatannya.

Tiada lagi pemimpin yang sudah menjatuhkan reputasi Malaysia sebegini.

Berikutan pendedahan terkini dan memandangkan beliau berkali-kali gagal mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya, satu-satunya tindakan bertanggungjawab dari segi moral yang boleh dilakukan adalah dengan Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Sekali lagi, skandal berlarutan ini menekankan kepentingan Deklarasi Rakyat yang dilancarkan baru-baru ini bagi ‘menuntut peletakan jawatan Najib sebagai PM dan menuntut pembaharuan institusi yang akan dilaksanakan untuk membawa Malaysia kembali ke landasannya sebagai sebuah negara demokrasi berperlembagaan yang ditadbir dengan betul.

Leave a Reply

Your email address will not be published.