Categories
SELANGOR

385 mangsa banjir Dengkil ditempatkan di pusat pemindahan

OLEH : AFIX REDZUAN

DENGKIL, 10 MEI: Seramai 385 mangsa banjir daerah Dengkil ditempatkan di dua pusat pemindahan Dewan Taman Gemilang dan Dewan Pekan Dengkil.

Pegawai Daerah Sepang, Roslinah Md Jani berkata, setakat ini segala bentuk bantuan asas seperti makanan dan peralatan penginapan sudah disediakan kepada mangsa banjir.

IMG-20160510-WA0006“Bantuan daripada Unit Pengurusan Bencana Daerah menyediakan makanan, bantuan keselesaan di dewan penginapan seperti toto yang disumbangkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pemantauan kesihatan pula dilakukan Pusat Kesihatan Daerah bagi warga emas sementara keselamatan oleh pasukan polis,” katanya kepada Selangor Kini.

Difahamkan setakat ini tidak ada isu kecederaan dan semua penduduk selamat.

Beliau berkata pihaknya turut menyediakan petugas bagi membantu mangsa membersihkan kediaman mereka.

“Bagi tujuan pembersihan rumah, kita bergantung kepada permintaan. Kalau ada kita sudah bersedia pasukan PANTAS negeri, NGO Arif dan PANTAS Majlis Perbandaran Sepang,” katanya.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong hadir ke Dewan Taman Gemilang bagi menyampaikan sumbangan berbentuk barang keperluan kepada mangsa banjir.

Bencana banjir yang berlaku pada 7 Mei lalu mengakibatkan lapan kawasan ditenggelami air.

Kawasan dinaiki air adalah Kampung Chemperai, Revolusi Hijau, Kampung Semarang dan Ampar Tenang.

Empat lagi kawasan termasuklah Taman Baiduri, Kampung Lalang, Sri Tanjung dan Taman Gemilang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.