Categories
SELANGOR

794 asnaf Klang terima RM563,750 bantuan zakat LZS

OLEH : NORHAYATI UMOR

KLANG, 26 MEI: Seramai 794 asnaf dan miskin di daerah Klang berpeluang membuat persiapan awal menyambut Ramadan apabila menerima bantuan zakat RM563,750 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd Ali, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM 181,000 diagihkan kepada 253 asnaf fakir manakala RM 382,750 diagihkan kepada 541 asnaf miskin.

LZS ZAKAT“Ia membabitkan bantuan di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan bagi setiap keluarga.

“Majlis penyerahan ini merupakan siri pertama yang diadakan di daerah Klang diikuti dengan satu lagi siri pada 31 Mei depan yang membabitkan seramai 6,416 keluarga asnaf Klang Selatan dan Timur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bantuan Ramadan dan Hari Raya di Masjid Bandar Diraja Klang.

Hadir sama Orang Besar Klang, Dato’ Setia Diraja Datuk Abdul Ghani Pateh Akhir.

Untuk rekod, Klang merupakan daerah kedua selepas Petaling yang mempunyai jumlah penerima tertinggi bagi bantuan itu iaitu seramai 6,416 keluarga membabitkan peruntukan zakat sebanyak RM 4,785,530.

Majlis penyampaian bantuan itu bermula pada 24 Mei dan dijangka berakhir pada 4 Jun 2016 menerusi 19 program yang diadakan setiap daerah bagi membantu golongan memerlukan membuat persiapan awal bersempena kedatangan Ramadan dan Syawal.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.