Categories
SELANGOR

Akhir Piala FA: The Red Ants tekad muncul juara

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 MEI: Pasukan bukan pilihan, PKNS FC tekad melakar sejarah muncul kelab pertama menjuarai Piala FA tahun ini.

Bakal berdepan gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Takzim (JDT), pasukan kendalian E Elavarasan itu membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, di sini, malam esok.

Beliau berkata, pengurusan dan pemain begitu teruja dengan pencapaian The Red Ants layak ke akhir kerana kali terakhir pasukan itu menjuarai Piala FA adalah pada 1970-an dahulu.

PC (3 of 6)“Kita tahu JDT pasukan kuat dan pilihan tetapi pemain sudah bersedia menghadapi perlawanan akhir dan dalam tempoh 90 minit segalanya boleh berlaku.

“Maka memenangi Piala FA adalah satu penghormatan kerana setakat ini tiada kelab menjuarainya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Bekas pemain Selangor itu berkata, PKNS FC selesa dilabel ‘under dog’ dan akan berusaha menghalang kemaraan JDT.

Katanya, persiapan pasukan juga lancar dan semua pemain bebas dari sebarang masalah kecederaan.

“Lebih kurang kita sudah mendapat gambaran kesebelasan utama untuk esok tetapi kita tengok macam mana perkembangan seterusnya.

“Secara asasnya sudah ada dan harap tiada masalah lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez, berkata perlawanan akhir Piala FA amat penting sama seperti perlawanan merebut piala lain dimenangi iaitu Piala AFC dan kejuaraan Liga Super.

PC (2 of 6)“Ia perlawanan akhir yang penting dan kita menghormati semua pasukan dengan kita meletakkan sasaran untuk memenangi setiap perlawanan ditempuh.

“Pastinya ia perlawanan mencabar kerana PKNS FC sudah membuktikan kemampuan menundukkan pasukan kuat untuk layak ke akhir,” katanya.

Berdepan PKNS FC yang dianggap ‘giant killer’, jurulatih dari Argentina itu tetap optimis dengan kemampuan ‘giant’ bola sepak tempatan itu untuk mengungguli perlawanan akhir berkenaan.

“Ia aksi akhir yang menarik kerana PKNS FC mahu muncul juara, begitu juga kita dan dalam 90 minit kita boleh menang dan kalah,” katanya sama seperti Elavarasan yang berharap perlawanan itu tidak berlarutan ke masa tambahan.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.