Categories
NASIONAL

Azalina menipu di Parlimen untuk selamatkan 1MDB?

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Azalina Othman Said dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ekoran tindakannya yang didakwa cuba memperdayakan rakyat dan Parlimen.

Lip Eng berkata, hal itu berikutan Azalina sebelum ini dalam jawapannya kepada satu pertanyaan lisan menyatakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menerima makluman daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyatakan segala maklumat diberi berstatus ‘sulit bagi tujuan risikan bukan kegunaan mahkamah atau laporan awam’.

limlipeng“Beliau memberitahu semua anggota PAC sudah dimaklumkan berkenaan perkara ini melalui surat Pengerusi PAC kepada Timbalan Gabenor BNM, bertarikh 6 April lalu.

“Saya mendapat tahu bahawa Pengerusi PAC tidak pernah memaklumkan anggota PAC berkenaan surat bertarikh 6 April itu atau apa-apa perkembangan terbaru selepas mesyuarat terakhir PAC berhubung siasatan syarikat 1MDB, pada 4 April lalu hingga kini,” kata Lip Eng pada sidang medianya, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, jawapan Ahli Parlimen Pengerang itu bukan sahaja cuba memperdayakan rakyat dan Parlimen tetapi ia juga satu tindakan yang jelas melanggar peraturan mesyuarat, sekali gus menimbulkan kecurigaan sama ada beliau berniat untuk menutup kes 1MDB.

Justeru, Lip Eng sudah menghantar sepucuk surat bertarikh 18 Mei 2016 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi mencadangkan supaya Azalina dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.