Categories
SELANGOR

Bas Smart Selangor tidak jejas pengangkutan awam lain

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SELAYANG, 13 MEI: Perkhidmatan bas komersial dan pemandu teksi tidak akan terjejas walaupun Bas Smart Selangor diperluas ke seluruh negeri bermula Julai ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim, berkata jajaran laluan perkhidmatan bas itu hanya tertumpu di kawasan luar bandar yang tidak dikomersialkan.

YB Datuk Teng serahkan sumbangan Tokong (1)“Jika ada kesan pun ia hanya beri kesan minimum kerana laluan yang dipilih adalah laluan yang sudah dikaji SPAD.

“Pastinya perkhidmatan bas Smart Selangor ini tidak melalui kawasan atau jajaran bas komersial dan hanya tertumpu kepada kawasan kebanyakan penduduk berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya pada Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor di Dataran Ilmu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan pemandu teksi dan syarikat bas komersial berkenaan perkhidmatan bas percuma seluruh negeri yang didakwa bakal menjejaskan pendapatan mereka.

Bagaimanapun, Teng memberi jaminan isu berkenaan perkara itu menjadi perhatian Kerajaan Negeri demi manfaat jangka panjang masyarakat Selangor.

“Perkhidmatan bas percuma ini akan jadi penghubung kepada orang ramai untuk ke kawasan bandar menggunakan perkhidmatan teksi dan bas komersial.

BAS PERCUMA SELAYANG“Secara tidak langsung, inisiatif ini juga boleh menambah pendapatan mereka secara amnya,” katanya.

Sementara itu, Exco Infrastruktrur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata Kerajaan Negeri membuat kajian menyeluruh berkenaan pelaksanaan bas percuma.

Katanya, Kerajaan Negeri konsisten mengutamakan kebajikan dan kepentingan masyarakat untuk menikmati kehidupan sejahtera di Selangor.

“Sudah lama rakyat menantikan perkhidmatan seperti ini dan ini satu kejayaan besar buat penduduk Selangor,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.