Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bas percuma di Sri Muda diteruskan, sedia lanjut jika perlu

CHERAS, 10 JAN: Tiada tempoh ditetapkan bagi kemudahan laluan sementara Bas Smart Selangor di sekitar Taman Sri Muda di sini yang bermula sejak 1 Januari lalu.

EXCO Pengangkutan Ng Sze Han berkata perkhidmatan bas itu diteruskan berikutan sambutan baik daripada penduduk di kawasan tersebut yang terjejas akibat banjir.

“Kita belum tahu lagi perkhidmatan ini sampai bila, ia masih berterusan sebab banyak kereta yang belum dibaiki. Sambutan diterima buat masa ini baik dan ada penumpang.

“Jika ada keperluan kita akan teruskan dan lanjutkan masa lebih panjang kerana tujuannya adalah memudahkan penduduk untuk bergerak,” katanya ditemui pada Program BAIK di sini semalam.

Laluan sementara Bas Smart Selangor itu bermula dari Hab Sri Muda diikuti Balai Polis Sri Muda, Hentian Jalan Hasrat, Pasaraya NSK, Petron Sri Muda dan Pangsapuri Andorra.

Perkhidmatan tersebut bermula dari 6 pagi hingga 10 malam dengan kekerapan selama sejam.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kenderaan rosak akibat banjir, orang ramai harap laluan bas percuma diperluas

SHAH ALAM, 3 JAN: Penduduk berharap laluan sementara Bas Smart Selangor di sekitar Taman Sri Muda di sini diperluaskan bagi memanfaatkan lebih ramai mangsa terkesan banjir di kawasan itu.

Ketika ini perkhidmatan bermula di Hub Sri Muda membabitkan lima perhentian iaitu Balai Polis Sri Muda, Hentian Jalan Hasrat, Pasaraya NSK, Petron Sri Muda dan Pangsapuri Andorra sebelum kembali di Hub Sri Muda.

N Ramamoorthy, 49. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Penduduk N Ramamoorthy, 49, berkata ramai penduduk mengalami kesukaran bergerak disebabkan kenderaan mereka rosak teruk dalam kejadian banjir besar melanda 18 Disember lalu.

“Jadi inisiatif Kerajaan Negeri ini memang bagus kerana memudahkan penduduk, cuma kalau boleh perluaskan lagi kawasan.

“Lagi banyak kawasan dilalui lebih ramai tang dapat manfaat,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Bagi warga Indonesia Timaneh Ibnu, 48, perkhidmatan bas khusus di Taman Sri Muda itu mengurangkan beban penduduk yang terkesan dengan banjir.

Warga Indonesia, Timaneh Ibnu, 48. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Macam-macam dilakukan pihak berkuasa untuk beri keselesaan kepada penduduk, mungkin ini (perkhidmatan bas) nampak kecil tetapi bermakna buat mereka yang sukar macam kami,” katanya.

Laluan sementara Bas Smart Selangor di sekitar Taman Sri Muda di sini disediakan untuk kegunaan penduduk terkesan banjir di kawasan itu sejak semalam.

Perkhidmatan tersebut bermula 6 pagi hingga 10 malam dengan kekerapan sejam.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Laluan sementara Bas Smart Selangor untuk penduduk Sri Muda terjejas banjir

SHAH ALAM, 1 JAN: Laluan sementara Bas Smart Selangor di sekitar Taman Sri Muda di sini disediakan untuk kegunaan penduduk terkesan banjir di kawasan itu.

Maklumat dikongsi Dato’ Menteri Besar menerusi Facebook memaklumkan perkhidmatan melibatkan enam laluan untuk penduduk di kawasan terlibat.

“Kemaskini laluan sementara Bas Smart Selangor bagi kemudahan penduduk di kawasan Taman Sri Muda,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Maklumat disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam menjelaskan senarai laluan itu bermula di Hub Sri Muda diikuti Balai Polis Sri Muda, Hentian Jalan Hasrat, Pasaraya NSK, Petron Sri Muda, Pangsapuri Andorra dan berakhir di Hub Sri Muda.

Perkhidmatan tersebut bermula 6 pagi hingga 10 malam dengan kekerapan sejam.

Categories
EXCO SELANGOR

MPK teliti laluan baharu Bas Smart Selangor di Pandamaran, Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 30 NOV: Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu meneliti beberapa perkara sebelum memperluas perkhidmatan Bas Smart Selangor ke kawasan Pandamaran dan Pelabuhan Klang.

EXCO pengangkutan awam berkata kekerapan penumpang menggunakan perkhidmatan dan kos penyelenggaraan perlu diperhalusi memandangkan ia dibiaya sepenuhnya pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Berdasarkan kajian MPK mengenai laluan sedia ada dari semasa ke semasa bergantung kepada penggunaannya seperti jumlah hentian dan bas perlu disediakan dan jarak laluan.

“(Ia termasuk) kekerapan jumlah perkhidmatan setiap jam perjalanan dan jangkaan kekerapan penumpang,” kata Ng Sze Han dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Pandamaran Tony Leong Tuck Chee berhubung bila perkhidmatan Bas Smart Selangor akan memasuki kedua-dua kawasan terbabit.

Sze Han berkata ketika ini, laluan sedia ada melibatkan kawasan Pelabuhan Klang adalah laluan KLG1 yang beroperasi dari Bandar Klang sehingga Kompleks Sukan Pandamaran.

Jelasnya, perkhidmatan itu tidak boleh memasuki laluan ditentukan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengikut zon kepada operasi bas sedia ada.

“Keperluan bas awam atau bas henti-henti adalah di bawah tanggungjawab APAD. Bas Smart Selangor disediakan hanya menampung kekosongan laluan dengan mengutamakan laluan sosial tidak dilalui bas sedia ada selain perlu mendapat kelulusan APAD,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 10,700 perjalanan Bas Smart Selangor bawa pesakit ke PKRC

SHAH ALAM, 18 NOV: Lebih 10,700 perjalanan dicapai Bas Smart Selangor membawa pesakit Covid-19 ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Serdang.

Angka itu bagi tempoh 10 bulan sejak ia mula digerakkan pada awal tahun ini, kata EXCO Pengangkutan Ng Sze Han.

“Setakat ini kita sudah menamatkan perkhidmatan tersebut kerana kemasukan pesakit semakin berkurangan tidak seperti awal pandemik lalu,” katanya menerusi Bual Bicara Selangor TV #Selangor2022 Langkah Hadapi Endemik malam tadi.

Mengulas mengenai tambahan laluan Bas Smart Selangor, Sze Han berkata pihaknya akan mengkaji perkara tersebut dan bergantung kepada peruntukan yang diberi menerusi belanjawan akan datang.

“Kita menerima banyak permohonan untuk menambah laluan tetapi kita akan kaji terlebih dahulu…saya berharap peruntukan pengangkutan awam seperti Bas Smart Selangor dikekalkan pada belanjawan nanti,” katanya lagi.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Bas Smart Selangor  digunakan untuk membawa pesakit Covid-19 dari rumah ke PKRC.

Pakej dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Belanjawan 2022 diharap kekalkan Bas Smart Selangor, dapat sambutan rakyat

PUCHONG, 5 NOV: Belanjawan 2022 diharap dapat mengekalkan peruntukan pengangkutan awam membabitkan Bas Smart Selangor.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata perkhidmatan itu mendapat permintaan dan sambutan baik daripada rakyat.

“Projek ini (Bas Smart Selangor) sangat berjaya dan disambut baik oleh penduduk di Selangor.

“Saya juga berharap belanjawan yang dibekalkan nanti akan menumpukan bagaimana memulihkan ekonomi khususnya golongan B40,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Puchong Indah semalam.

Pada 8 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan (ADN) dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022.

Pembentangan Belanjawan Selangor akan dilaksanakan pada 26 November dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

23 laluan Bas Smart Selangor mudahkan rakyat ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kerajaan Negeri menyediakan 23 laluan Bas Smart Selangor ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memudahkan orang ramai menerima suntikan.

EXCO pengangkutan awam berkata laluan tersebut membabitkan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

Selain itu, Ng Sze Han berkata turut terlibat Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

“Setakat ini kita tiada data bilangan penumpang yang khusus menaiki bas untuk ke PPV tetapi sambutan diterima menggalakkan berdasarkan makluman operator bas.

“Inisiatif ini secara tidak langsung memudahkan rakyat yang tiada pengangkutan di samping membantu kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han berkata pihak berkuasa tempatan juga sedang mengkaji laluan tambahan bersesuaian berpandukan pembukaan beberapa cawangan PPV baharu selepas ini.

Orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut dengan memuat turun aplikasi Smart Selangor SITS di Apple App Store atau Google Play bagi kemudahan melihat jadual perjalanan lebih tepat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk gembira Kerajaan Negeri sedia pengangkutan awam ke PPV

SHAH ALAM, 8 JULAI: Orang ramai gembira dengan inisiatif Kerajaan Selangor yang menyediakan pengangkutan awam untuk memudahkan mereka ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Penerima vaksin, Izaruddin Osman, 50, berkata beliau menyambut baik inisiatif itu kerana tidak semua orang mempunyai kenderaan sendiri.

Izaruddin Osman

“Saya memilih pergi PPV menaiki Bas Smart Selangor kerana stesen bas berhampiran dengan rumah. Pengangkutan awam ini memudahkan terutama untuk warga emas yang mana anak tinggal berjauhan.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana menyediakan kemudahan kepada rakyat yang mahu pergi ke PPV,” katanya ketika ditemui di PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid semalam.

Sementara itu, Nurkiah Jusoh, 31, memuji inisiatif yang menurutnya amat membantu terutama golongan seperti beliau yang bergantung kepada pengangkutan awam kerana tidak memiliki kenderaan sendiri.

Nurkiah Jusoh

“Menaiki kenderaan awam ke PPV satu langkah yang amat bagus kerana saya khuatir sekiranya selepas divaksin akan ada kesan sampingan sama ada mengantuk atau tidak larat untuk memandu. Ia juga membantu golongan warga emas atau mereka yang berada di luar bandar untuk pergi PPV,” katanya.

Manakala, Muhammad Azizan Alias, 27, ketika ditemui di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pula berpendapat beliau memilih untuk menaiki Grab ke PPV kerana mudah dan tidak perlu fikir untuk mencari parkir.

Muhammad Azizan Alias

“Saya tidak tahu pula mengenai rebat perjalanan Grab tetapi Insya-Allah dos kedua nanti saya akan daftar manfaat ini untuk menaiki Grab ke PPV,” jelasnya.

Selain itu, Viki Too, 34, memuji inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan pengangkutan awam ke PPV dan berharap diperluaskan ke semua kawasan.

Viki Too

“Hari ini suami ambil cuti kerja untuk hantar saya ke PPV kerana bimbang keadaan selepas divaksin. Selepas dimaklum adanya inisiatif Kerajaan Selangor ini saya akan memilih untuk menaiki pengangkutan awam itu bagi dos kedua nanti,” katanya ketika ditemui di IDCC.

Kerajaan Selangor menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor termasuk tawaran rebat perjalanan ke PPV menggunakan Grab berjumlah RM20 dibuka kepada semua rakyat negeri ini tanpa mengira usia.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

11 laluan Bas Smart Selangor mudahkan penduduk ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 5 JULAI: Kerajaan Negeri menyediakan 11 laluan Bas Smart Selangor ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memudahkan orang ramai mengambil vaksin.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shaari berkata sebanyak 11 laluan dipinda itu membabitkan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

“Kerajaan Selangor menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor ke lokasi PPV demi memudahkan janji temu vaksinasi Covid-19,” katanya di Facebook.

Orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut dengan memuat turun aplikasi Smart Selangor SITS di Apple App Store atau Google Play bagi kemudahan melihat jadual perjalanan yang lebih tepat.

Categories
EXCO SELANGOR

Ubah laluan, Bas Smart Selangor mudahkan orang ramai ke PPV

SHAH ALAM, 3 JULAI: Laluan Bas Smart Selangor diubah ke kawasan pusat pemberian vaksin (PPV) bagi kemudahan orang ramai mengambil suntikan.

EXCO pengangkutan berkata setakat ini 11 laluan dipinda melibatkan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Menurut Ng Sze Han laluan berkenaan bersifat sementara waktu sehingga pengoperasian PPV tamat.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama operator bas juga sedang kenal pasti laluan lain yang boleh dilencongkan supaya memudahkan rakyat ke PPV mengikut tarikh janji temu.

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kapasiti penerima vaksin di Selangor seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Januari lalu, Kerajaan Selangor menggerakkan Bas Smart Selangor untuk membawa pesakit Covid-19 dari rumah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang yang antara lain bagi mengurangkan beban petugas hadapan.

Categories
EXCO SELANGOR

Kapasiti penumpang Bas Smart Selangor dikurang 50 peratus, laluan kekal

SHAH ALAM, 3 JUN: Hanya 50 peratus kapasiti penumpang dibenar menaiki Bas Smart Selangor ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 Jun ini.

EXCO pengangkutan awam berkata perkara itu selaras dengan tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara bertujuan mengurangkan rantaian penularan Covid-19.

“Kerajaan Negeri berharap penumpang dan pemandu bas tidak melanggar arahan dan bersama mematuhi SOP bagi memutuskan jangkitan wabak,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

Menurut Sze Han semua Bas Smart Selangor termasuk PJ City Bus beroperasi seperti biasa di 50 laluan seluruh negeri ini.

Kerajaan melaksanakan PKP seluruh negara selama dua minggu bermula Selasa lalu ekoran kes Covid-19 yang semakin meningkat sehingga mencecah kepada lebih 8,000 kes sehari.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

PKP: Bas Smart Selangor, PJ City Bus angkut penumpang hanya 50 peratus

SHAH ALAM, 24 MEI: Hanya 50 peratus penumpang dibenar menaiki Bas Smart Selangor dan PJ City Bus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula esok.

EXCO pengangkutan awam berkata perkara itu selaras dengan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menangani peningkatan mendadak kes Covid-19 ketika ini.

“Kerajaan Negeri berharap semua pihak bekerjasama dengan menitikberatkan langkah pencegahan, menjaga kebersihan diri dan mematuhi arahan kerajaan dari semasa ke semasa di dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak,” kata Ng Sze Han dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkhidmatan kedua-dua bas itu beroperasi mulai 6 pagi hingga 9 malam termasuk penyusunan semula jadual operasi dan perjalanan akan dilaksana pihak berkuasa tempatan serta operator berkaitan.