OLEH AFEEQA AFEERA
HULU Selangor bukanlah lokasi asing bagi kebanyakan masyarakat, namun harus diakui popularitinya belum setanding daerah lain di negeri ini.
Ramai menganggap ia adalah daerah ‘old school’ memandangkan seni bina dan reka bentuk bangunannya masih mengekalkan ciri lama tidak seperti di Petaling, jauh sekali Kuala Lumpur.
Hakikatnya ramai tidak menyedari di sebalik ‘lapuk’ Hulu Selangor itu, ia sebenarnya salah satu destinasi yang bukan sahaja kaya warisan, malah dilimpahi kawasan pelancongan menarik khususnya buat pencinta ketenangan dan keindahan alam sekitar.
Menyedari kepentingan mempromosi pelancongan di daerah itu dan Selangor amnya ke peringkat antarabangsa, Kerajaan Negeri bersama Tourism Selangor sekali lagi menganjurkan program Eat, Travel, Write pada 21 April lalu.
Pemilihan daerah itu dilakukan ekoran potensinya sebagai kawasan tumpuan eko pelancongan negeri di samping meraikan Tahun Melawat Hulu Selangor 2017.
Menelusuri daerah Bunga Matahari
Penerokaan di Hulu Selangor dimulakan dengan melawat Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Kuala Kubu Bharu bagi melihat sendiri penternakan tapir, buaya dan landak.
Ironinya, ia mungkin kelihatan biasa di mata masyarakat, namun pengunjung berpeluang mendekati hidupan liar di situ secara lebih dekat serta didedahkan berkenaan rutin penjagaan seharian.
Menariknya, kebanyakan hidupan liar dipelihara kesan daripada kecederaan dialami ketika berada di dalam hutan dan diberikan rawatan serta penjagaan rapi sepanjang hayat mereka.
Rasanya tidak lengkap jika ke Kuala Kubu Bharu tetapi tidak singgah di Bukit Fraser yang terkenal dengan konsep ekopelancongan di samping keseimbangan warisan bandar taman.
Udara nyaman menemani sepanjang perjalanan mendaki Bukit Fraser memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke sana.
Di situ, antara kawasan penginapan terkenal adalah Rumah Rehat Seri Berkat bercirikan Inggeris yang dibina sekitar 1926 oleh Pertubuhan British Red Cross, ditujukan kepada bekas anggota tentera pada 1914.
Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada Tanah Melayu atas kemurahan hati dan kerjasama diberikan sewaktu zaman pemerintahan mereka di luar negara ketika zaman peperangan.
Maka, tidak hairanlah Bukit Fraser menerima jolokan ‘Little Scotland’ di samping suhu sejuk dan berkabus ketika waktu petang sehingga subuh yang membolehkan pengunjung menghirup udara segar.
Riadah dan rekreasi
Ruginya jika menjelajah ke Hulu Selangor tetapi tidak singgah di tempat riadah yang kian menggapai populariti iaitu Sungai Chilling Kelah Sanctuary.
Biarpun laluannya agak ekstrem, namun keletihan akan terhapus sendiri sebaik sahaja melihat kejernihan sungai dan air terjun semulajadi yang dimiliki di kawasan itu.
Sesuai dengan nama ‘chilling’ atau santai, ia sinonim untuk aktiviti riadah dan berkhemah buat mereka yang gemarkan ‘nature’.
Selain itu, pengunjung juga boleh melihat ratusan ikan kelah yang diternak di dalam sungai serta memberi makanan secara bebas kepada mereka.
Uniknya di situ, sebelum pengunjung dibenarkan mendaki ke puncak, renjer akan memeriksa kandungan beg dan mengira jumlah bekas makanan yang dibawa ke atas.
Tindakan sama akan dilakukan sebaik sahaja pengunjung turun semula ke bawah bagi memastikan jumlah bekas makanan yang dibawa tadi masih sama bilangannya.
Ia bagi memastikan pengunjung tidak membuang sampah sesuka hati ketika berada di puncak kerana kegagalan berbuat demikian akan dikenakan penaliti atau denda.
Selain Sungai Chilling, pengunjung juga boleh menikmati aktiviti paragliding di Taman Millenium Kuala Kubu Bharu yang turut dilengkapi mini stadium serta kelengkapan riadah kelas pertama.
Landskapnya yang indah nyata memukau pandangan buat sesiapa berpeluang mencuba sukan lasak itu yang dikatakan ‘ubat’ bagi si penggayat.
Kaya makanan
Bagi melengkapkan lawatan ke Hulu Selangor, pengunjung harus mencuba aneka juadah enak di daerah itu, antaranya Tart Bangkahulu yang berasal dari Indonesia.
Tart mungkin biasa dijadikan juadah ketika hari raya, namun Bangkahulu tampil sedikit berbeza daripada segi bentuk dan acuannya.
Kuih tradisional itu dikatakan antara yang popular di Kuala Kubu Bharu dan belum pernah dihasilkan di mana-mana daerah lain selain Hulu Selangor.
Menu wajib cuba buat sesiapa yang berkunjung ke Hulu Selangor adalah masakan Asam Pedas Udang Galah yang pasti membuatkan anda terliur.
Di sebalik kesegaran udang galah yang dihidangkan, sekali lagi hanya Hulu Selangor yang menawarkan juadah seperti itu.
Pepatah ada mengatakan, tak kenal maka tak cinta. Jika tidak ke Hulu Selangor, bagaimana mahu selami keunikannya yang mungkin tiada di tempat lain.
Apa yang pasti, persepsi daerah ketinggalan zaman akan terhakis dari minda sebaik sahaja kaki menjelajah ke pelusuk Hulu Selangor.
Jika mahu diceritakan satu persatu, tidak habis rasanya. Luangkanlah sedikit masa berkunjung ke sana untuk merasai sendiri keindahan Hulu Selangor.