Categories
NASIONAL

Deklarasi Rakyat tetap bawa kepada Majlis Raja-Raja

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 MEI : Gerakan Selamatkan Malaysia berjaya mengumpul lebih 500,000 tandatangan melalui Deklarasi Rakyat mendesak pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ketua Sekretariatnya, Datuk Kamarudin Jaafar, berkata perancangan secara tentatif sedang dipergiat supaya sasaran sejuta tandatangan berjaya dikumpulkan untuk dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja, 11 dan 12 Mei ini.

Datuk Kamarudin Jaffar“Jumlah itu diserahkan kepada Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertuan Agong pada tarikh ditetapkan nanti melalui penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Inisiatif ini adalah perancangan secara tentatif yang sedang kita bincangkan bagi mendesak pengunduran Perdana Menteri,” katanya kepada SelangorKini.

Sejak dilancarkan 4 Mac lalu, Gerakan Selamatkan Malaysia optimis campurtangan Majlis Raja-Raja merupakan pendekatan terpenting untuk memastikan matlamat pengunduran Najib dicapai.

“Salah satu tugas penting Majlis Raja-Raja sudah tentulah untuk menjaga keselamatan, kebajikan dan kemakmuran negara.

“Jadi tidak hairanlah apabila Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan dalam sidang Majlis Raja-Raja sekitar Oktober lalu mendesak Kerajaan Persekutuan menyelesaikan kemelut 1MDB,” katanya.

Deklarasi Rakyat sebelum ini dilancarkan sebagai cetusan rakyat untuk berkongsi pandangan bahawa negara ini hanya boleh terselamat jika Najib melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.