SHAH ALAM, 11 MEI: Dua pusat pemindahan mangsa banjir dan ribut di dua daerah di Selangor masih dibuka membabitkan 24 mangsa daripada lapan keluarga setakat pukul 9 pagi tadi.
Memetik laporan Bernama, Jurucakap Bomba Selangor, berkata pusat pemindahan itu adalah di Dewan Orang Ramai, Kampung Perepat, Kapar bagi mangsa ribut manakala Dewan Orang Ramai Taman Sri Gemilang, Sepang, membabitkan mangsa banjir.
“Tujuh mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di Kapar manakala 17 mangsa daripada lima keluarga di Sepang.
“Bagaimanapun, lima lagi pusat pemindahan yang dibuka sejak Sabtu lepas telah ditutup secara berperingkat sehingga hari ini,” katanya.
Pusat pemindahan ditutup adalah Balai Raya Rinching Hilir, Beranang; Dewan Komuniti Taman Semenyih Indah; Dewan Orang Ramai Kampung Ampar Tenang, Sepang; surau Ikhwanul Muslimin, Kampung Sungai Buah Luar, Sepang; dan Dewan Orang Ramai Dengkil, Sepang.
-AA-