Categories
SELANGOR

Silang Budaya meriahkan Muzium Sultan Alam Shah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 MEI: Orang ramai dijemput mengunjungi Muzium Sultan Alam Shah sempena program ‘Silang Budaya’ bermula 11 Mei hingga 9 Jun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program julung kali itu bertujuan mempromosi persembahan kebudayaan tradisi dari enam negeri menerusi pameran bergerak.

Katanya, ia akan bermula di Perak, Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Kedah dan berakhir di Pulau Pinang.

YUNUS HAIRI“Menariknya program ini berkonsepkan pertukaran budaya di mana setiap negeri terlibat akan menonjolkan budaya mereka di setiap lokasi.

“Ini pastinya dapat mendekatkan seni budaya kepada masyarakat kita yang mungkin kurang mengenali keistimewaan budaya negeri lain,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Silang Budaya di Muzium Sultan Alam Shah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Mohd Faizul Fitri Muslil.

Program anjuran bersama PADAT dengan Persatuan Muzium Malaysia itu antara lain memuatkan persembahan kebudayaan Ghazal Party (Pulau Pinang), Wayang Kulit Asun (Kedah), Tarian Dabus (Perak), Gambus (Kuala Lumpur), Muzik Campuling (Selangor) serta Zapin Johor (Johor).

Antara aktiviti di Muzium Sultan Alam Shah adalah Sembang Dabus pada 18 Mei, Ketuk-ketuk Campuling (25 Mei) dan persembahan kebudayaan lain.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman web PADAT di www.padat.gov.my.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.