Categories
NASIONAL

El Nino: Malaysia alami lebih kerap dua tahun sekali

SHAH ALAM 3 MEI: Malaysia bakal mengalami fenomena El Nino lebih kerap iaitu dua tahun sekali dalam tempoh beberapa tahun akan datang berikutan faktor pemanasan global yang semakin serius.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Nurul Nadrah Aqilah Tukimat, berkata keadaan itu berlaku berikutan peningkatan suhu dunia semakin drastik, antaranya disebabkan peningkatan gas karbon dioksida ke udara.

“Jika kita lihat pada 1980 sehingga 1988, fenomena ini berlaku empat tahun sekali. Tetapi dalam tempoh 1998 hingga 2015, keadaan ini boleh dikatakan berlaku lebih kerap iaitu tiga tahun sekali tidak kiralah dalam keadaan lemah, sederhana, mahu pun kuat.

el-nino-foto“Contohnya pada 2012, kita lihat pembentukan fenomena ini telah ada walaupun ia tidak sampai ke Malaysia, dan pada 2014 ia berada dalam keadaan lemah dan kemudiannya menjadi kuat tahun ini, menyebabkan kita mengalami cuaca panas yang melampau.

“Berdasarkan pola itu, jelas kita lihat pembentukan El Nino dua tahun sekali semakin hampir berlaku,” katanya dipetik BERNAMA.

Nurul Nadrah Aqilah berkata fenomena El Nino atau ‘the boy’ pada masa kini berkait rapat dengan pemanasan global akibat pelbagai faktor seperti pembangunan, pembebasan gas karbon dioksida oleh peningkatan penggunaan kenderaan selain kesan rumah hijau.

“Jika kita lihat suhu global pada Disember tahun lepas, ia mencatatkan kenaikan paling drastik dalam tempoh 120 tahun iaitu satu darjah celcius berbanding hanya 0.2 darjah celcius hingga 0.6 darjah celcius sebelum ini.

“Malah pada Februari lepas, Global Average Temperature (GAT) yang dikeluarkan oleh sebuah badan mengkaji cuaca di Amerika Syarikat iaitu National Oceanic and Atmmospheric Administration (NOAA) turut merekodkan peningkatan suhu dunia +1.2 darjah celcius.

“Sebab itu, Monsun Timur Laut yang sepatutnya membawa kuantiti hujan yang banyak ke negara ini pada Disember dan Januari lepas, menjadi lemah akibat pembentukan El Nino,” katanya.

Selain itu, katanya, kajian dijalankan GAT juga mendapati suhu normal negara pada akhir abad 21 nanti dijangka boleh mencecah di antara 35 darjah celcius hingga 38 darjah celcius yang menyamai suhu Malaysia ketika mengalami El Nino ketika ini.

Mengikut kelazimannya, katanya fenomena El Nino sebelum ini berlaku empat hingga tujuh tahun sekali dan ia terjadi apabila arus laut panas menggantikan arus laut sejuk di luar pantai barat Peru, Amerika Selatan.

Nurul Nadrah Aqilah berkata, penduduk di kawasan bandar terutamanya amat terasa dengan bahang El Nino kerana tiupan angin yang terhalang dengan ketidakaturan binaan bangunan selain ketiadaan pokok dan kawasan hijau yang dapat menyerap haba panas.

“Mungkin banyak pihak tertanya-tanya mengapa negara terpaksa berhadapan cuaca panas melampau sedangkan Malaysia negara terletak di garisan Khaltulistiwa sepatutnya mengalami panas dan lembab sepanjang tahun.

“Secara normalnya, negara ASEAN kawasan bertekanan rendah berbanding Amerika. Namun disebabkan El Nino ini, keadaan berubah menyebabkan angin sejuk dari kawasan Papua New Guinea pergi ke Amerika dan angin panas pula ke kawasan ASEAN menyebabkan kita mengalami cuaca panas.

“Keadaan ini menyebabkan kita mengalami impak kekurangan hujan mengakibatkan masalah kekurangan bekalan air seperti dialami negeri di utara Malaysia,” jelas beliau.

Mengenai masalah bekalan air, beliau mencadangkan pihak berkenaan memperkemaskan lagi sistem pengurusan air termasuk dengan membina empangan sekunder bagi menampung lebihan air semasa musim tengkujuh.

Beliau berkata kebiasaannya, air berlebihan tidak dapat ditampung oleh empangan semasa keadaan hujan lebat berterusan, hanya dilepaskan ke sungai sedangkan ia sewajarnya disimpan di empangan sekunder untuk menampung keperluan semasa musim kemarau.

Dalam masa sama, katanya kerajaan perlu mempertimbangkan penggunaan ‘evaloc’ digunakan secara meluas di India untuk mengurangkan kadar pengewapan yang tinggi di empangan di negara ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.