Categories
NASIONAL

Helikopter hilang: Bomba temui mayat wanita

KUCHING, 6 MEI : Pasukan Bomba dan Penyelamat sudah menjumpai mayat seorang wanita di kawasan pencarian helikopter yang hilang berhampiran tempat serpihan pesawat itu ditemui, dekat Sungai Batang Lupar, Sebuyau.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Nor Hisham Mohammad, berkata mayat itu ditemui jam 12 tengah hari, sekitar 15 kilometer (km) dari jeti Sebuyau.

ChwL0E8VAAAx-xAMayat itu akan diserahkan kepada polis di jeti Sebuyau, katanya dipetik BERNAMA.

Sebuah helikopter dinaiki enam orang termasuk seorang timbalan menteri hilang dalam perjalanan dari Betong ke Kuching petang semalam dan serpihannya ditemui pagi ini.

Sementara itu hubungan terakhir yang dibuat juruterbang helikopter semalam ialah pada 4.15 petang, tiga minit setelah berlepas.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata juruterbang itu memberitahu bahawa mereka dijangka akan berada di kawasan Simunjan dalam masa kira-kira 20 minit setelah berlepas pada pukul 4.12 petang.

“Sebelum jangkaan tiba di Semunjan, pengawal trafik udara cuba menghubungi pesawat itu pada 4.28 petang tetapi tiada respons. Beberapa lagi cubaan dilakukan untuk menghubungi helikopter itu pada 4.29 petang, 4.39 petang dan 4.56 petang.

ChtJsHJUYAEkgXy“Tetapi masih tiada respons daripada helikopter berkenaan,” katanya.
Beberapa serpihan bahagian helikopter itu ditemui dekat sungai Batang Lupar di Sebuyau, pagi ini (Jumaat).

Azharuddin berkata terdapat empat helikopter di kawasan itu pada ketika itu, sebuah daripadanya hanya seminit berada di belakang helikopter malang itu.
“Kami minta mereka menghubungi helikopter itu tetapi usaha mereka gagal,” katanya.

Selepas usaha menghubungi beberapa pihak yang berkenaan dan tiada sebarang isyarat dikesan tentang kedudukan helikopter itu, Azharuddin berkata situasi kecemasan diisytiharkan dan misi mencari dan menyelamat digerakkan pada pukul 7.26 malam tadi.

Beliau berkata pasukan bertindak dibentuk untuk mengendalikan usaha memberitahu keluarga mereka yang berada di dalam pesawat tu.

Azharuddin berkata penyiasatan masih berjalan dan Hornbill Skyways, syarikat yang menyewakan pesawat itu dari Filipina masih belum digantung operasinya.

“Pada masa ini kita masih belum tahu apakah sebenarnya berlaku. Kita kena siasat untuk mengetahui apa yang sebenarnya menyebabkan helikopter itu putus hubungan dengan menara kawalan. Operasi Hornbill Skyways tidak digantung lagi,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.