Categories
NASIONAL

IHP naik 2.1% April 2016 dari tahun ke tahun

KUALA LUMPUR, 20 MEI : Indeks Harga Pengguna (IHP), yang digunakan untuk mengukur kadar inflasi, naik pada kadar sederhana sebanyak 2.1 peratus dari tahun ke tahun dalam pada April 2016 kepada 114.3 berbanding dengan 2.6 peratus yang direkodkan pada Mac 2016.

Antara kumpulan utama yang mencatatkan kenaikan ialah Minuman Alkohol & Tembakau (+20.1 peratus), Makanan & Minuman Bukan Alkohol (+4.2 peratus), Restoran & Hotel (+2.7 peratus) termasuk Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api (+2.6 peratus).

Pelbagai Barangan & Perkhidmatan meningkat sebanyak 2.6 peratus serta Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan juga menokok sebanyak 2.6 peratus.

Di samping itu, jabatan itu berkata indeks keseluruhan juga dipengaruhi oleh penurunan harga dalam kumpulan Pengangkutan sebanyak 5.5 peratus, Komunikasi (-2.1 peratus) serta Pakaian & Kasut (-0.7 peratus).

Secara bulanan, IHP bagi April 2016 meningkat 0.4 peratus kepada 114.3 daripada 113.8 pada bulan Mac dan secara kumulatif, Januari hingga April meningkat sebanyak 3.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Peningkatan ini disumbangkan oleh jumlah perbelanjaan yang tinggi bagi Makanan & Minuman Bukan Alkohol (+4.5 peratus) akibat daripada kenaikan indeks Makanan Di Rumah (+4.5 peratus).

Indeks untuk Kopi, Teh, Koko & Minuman Bukan Alkohol serta indeks Makanan Di Rumah mencatatkan pertambahan, masing-masing sebanyak 4.5 peratus dan 2.7 peratus pada April.

Antara sub kumpulan makanan di rumah yang menunjukkan kenaikan yang signifikan dalam tempoh tersebut adalah Sayur-sayuran, (+8.3 peratus), Ikan & Makanan Laut (+7.9 peratus), Buah-buahan (+6.5 peratus) dan Daging (+3.3 peratus).

Manakala antara indeks barangan makanan yang merekodkan kenaikan yang ketara dalam April 2016 berbanding Mac adalah Tembikai (+11.1), Sawi (+8.4 peratus), Bawang Putih (+8.3 peratus), Timun (+8.3 peratus), Kubis Bulat (+7.9 peratus), Kacang Panjang (+4.5 peratus) dan Cili Merah (+4.3 peratus).

Menurut jabatan itu lagi, di kalangan 12 kumpulan utama itu, lima mencatatkan peningkatan, dua kumpulan menurun manakala lima lagi tidak berubah.

Sementara itu, inflasi teras yang mana tidak termasuk barangan makanan segar dengan harta tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal naik sebanyak 2.3 peratus dalam April dari setahun sebelum ini.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.