OLEH : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 24 MEI: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) melancarkan laman web baru www.investselangor.my sebagai platform untuk menarik lebih ramai pelabur asing dan tempatan melabur di Selangor.
Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim, berkata laman web itu bertujuan untuk mempromosikan dan memperkenalkan negeri itu sebagai destinasi pelaburan utama.
“Laman web baru ini tepat pada masanya dan boleh diakses pada peranti mudah alih serta mengandungi pelbagai informasi terkini mengenai Selangor termasuk berkaitan dengan peluang pelaburan di negeri ini.
“Mengikut rekod MIDA tahun lepas, Selangor mencatatkan pelaburan modal berjumlah RM124.43 bilion dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) juga berjumlah RM63.3 bilion,” katanya ketika merasmikan pelancaran laman web Invest Selangor, di sini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Hasan Azhari Idris.
Beliau berkata dianggarkan 1,300 syarikat multinasional menjalankan perniagaan mereka di Selangor.
“Walaupun kebanyakan syarikat memperlahankan misi perniagaan di luar negara dan usaha pemasaran tetapi Selangor bertindak sebaliknya.
“Kami meneruskan usaha untuk mempromosikan Selangor, infrastruktur, insentif dan kemudahan kepada kedua-dua syarikat tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Invest Selangor sebelum ini mengadakan siri mesyuarat dan seminar yang bertempat di luar negara membabitkan bandar utama di Australia, Vietnam, Thailand, Korea, Amerika, Timur Tengah dan Jepun.
Sementara itu, Hasan berkata langkah penjenamaan semula dimulakan pada tahun lalu dengan mengubah nama Selangor State Investment Centre (SSIC) kepada Invest Selangor Berhad.
“Laman web adalah merupakan platform pemasaran maklumat Cyber sesebuah organisasi dan adalah sangat penting dalam menyampaikan imej yang cekap dan profesional dengan maklumat yang berkaitan dan dikemaskini dalam dunia tanpa sempadan.
“Purata bilangan pengunjung bulanan adalah sekitar 40,000. Mereka terdiri daripada pelabur tempatan dan antarabangsa, stakeholders, agensi kerajaan dan syarikat seluruh dunia termasuk individu yang membuat penyelidikan,” katanya.
Beliau berkata alat pencarian (search tools) juga dinaik taraf supaya pengunjung dapat mencari maklumat dengan lebih mudah, mesra pengguna dan cepat melalui carta interaktif, direktori, video dan testimoni pelabur,” katanya.
Invest Selangor juga memberi tumpuan terhadap lima kluster industri sebagai langkah memacu pertumbuhan ekonomi negeri ini.
EZY