Categories
NASIONAL

Jadikan PRN Sarawak iktibar, pembangkang mesti bersatu

OLEH : NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 14 MEI: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali optimis keputusan terbaik dapat dimuktamadkan semua blok pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Beliau berkata semua parti politik mesti belajar daripada kesilapan di Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini.

Katanya, rundingan antara Pakatan Harapan mahupun PAS sedang berjalan dengan baik.

“Semua parti menerima hakikat bahawa kita harus mengenepikan kepentingan individu ataupun kelompok.

“Apa yang penting semua parti politik pembangkang, Pakatan Harapan atau kerjasama PAS meletakkan satu matlamat iaitu untuk membentangkan kezaliman, penyelewengan, rasuah yang berlaku di Putrajaya.

“Kita harus belajar kesilapan dari Sarawak dan ini yang sedang berlaku sekarang. Kita berbincang dan berunding,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kayuhan Santai di Kampung Nakhoda, di sini.

Beliau menasihatkan parti politik pembangkang mesti bersatu untuk mendapatkan dokongan dari pengundi.

“Siapa calon itu kita akan putuskan nanti. Kita masih ada masa untuk terus adakan perbincangan dengan semua pimpinan politik.

“Ini penting kita harus pastikan dalam menghadapi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Dan ini hanya dapat dicapai kalau kita ada kekuatan mengembleng semua tenaga dan kekuatan bagi menjayakan cita-cita reformasi ini. Sudah tentu kita ada perbezaan antara  lain, itu perkara biasa seperti pepatah sedangkan lidah lagi tergigit,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.