Categories
NASIONAL

KEADILAN Sarawak tubuh pasukan pemantau pastikan integriti pilihan raya terjamin

OLEH : NAEEM RAFFI

KUCHING, 7 MEI: Bagi memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 berlangsung adil dan telus, KEADILAN Sarawak mengambil inisiatif sendiri menubuhkan pasukan petugas khas memantau setiap kawasan yang ditandinginnya.

Pengarah Bilik Gerakan Utama (BGU) KEADILAN Sarawak, Lynette Tan, berkata pasukan berkenaan berperanan memantau dan mengesan kehadiran pengundi hantu atau sebarang kacau ganggu yang boleh menjejaskan integriti pilihan raya.

Lynette“Kami menggesa orang ramai untuk segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau unit penguatkuasaan berkenaan jika mendapati wujud kesalahan seperti membeli undi, provokasi, mengancam perbuatan, atau halangan pengundi daripada mengundi,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya lagi, tindakan membeli undi , provokasi atau halangan bagi tidak membenarkan pengundi menunaikan kewajiban mereka adalah merupakan jenayah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Lynette berkata, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda sehingga RM5,000, jika sabit kesalahan.

“Walaupun memenangi pilihan raya merupakan keutamaan bagi semua pihak, namun pilihan raya yang berlangsung mestilah bebas daripada penipuan, gangguan dan rasuah.

“KEADILAN menggesa semua pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi-agensi penguatkuasaan lain agar sentiasa berwaspada bagi memastikan pilihan raya dapat berlangsung dengan bersih dan adil,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menggesa agar pengundi dapat keluar awal bagi mengelakkan kesesakan yang mungkin dalam waktu akhir di tempat mengundi.

Mereka turut dinasihatkan supaya berhati-hati apabila dakwat kekal digunakan pada kertas jari bagi mengelakkan kertas undi mereka tidak dirosakkan oleh dakwat, yang boleh membuat undi tidak sah dan dianggap batal.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.