Categories
NASIONAL

Kemaraan KEADILAN di Sarawak membimbangkan BN

OLEH: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 MEI: Tindakan Barisan Nasional (BN) kebelakangan ini mencerminkan kebimbangan mereka terhadap kemaraan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang semakin diterima pengundi di Sarawak.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir, Mohdar Ismail berkata, ini dapat dilihat dengan beberapa tindakan lawan KEADILAN yang tidak pernah berlaku dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sebelum ini.

Lambir“Pilihan raya sebelum-sebelum ini tak pernah berlaku bendera kami hilang, kami dihalang berkempen di kampung atau rumah panjang tetapi kali ini ada berlaku.

“Ini membuktikan, BN sedar pengaruh KEADILAN semakin diterima pengundi di sini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, tindakan kotor jentera kempen lawan itu diburukkan lagi dengan langkah Kerajaan Negeri Sarawak menghalang pemimpin KEADILAN dari semenanjung untuk berkempen dalam pilihan raya kali ini.

Selain itu, Mohdar berkata, beliau juga menerima sambutan dan sokongan sangat menggalakkan daripada pengundi di DUN Lambir.

“Semakin hari semakin ramai tampil memberikan sokongan kepada kita walaupun kita dihalang dengan pelbagai cara,” katanya.

Mengulas proses pembuangan undi awal diadakan semalam, Mohdar memberitahu proses pengundian awal berjalan lancar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dan Kem Rajimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Sri Miri.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.