Categories
SELANGOR

Empangan susut tidak jejas bekalan air

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 MEI: Penduduk di sekitar Lembah Klang dinasihatkan supaya tidak bimbang ekoran penyusutan empangan di sekitar Selangor sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata hal itu kerana penyusutan air empangan membabitkan bekalan sumber air mentah dan tidak berkait secara langsung dengan air terawat.

“Memang secara harian Selangor membekalkan 4800 juta liter air sehari kepada 7 juta pengguna ke Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

zaidy“Dengan rizab kecil dan penggunaan berlebihan waktu panas akan menganggu bekalan dan tekanan air. Bagaimanapun, masih ada hujan setiap hari ketika ini.

“Kita mengharapkan supaya air masuk ke kawasan lembangan setidaknya ia akan menambah air sungai dan air empangan tidak perlu dikeluarkan secara maksimum,” katanya kepada SelangorKini.

Zaidy berkata, Kerajaan Negeri juga mengambil langkah mitigasi lain, antaranya operasi pengepaman air kolam (Opak), operasi pembenihan awan (Opa), penyaluran air dari Pahang dan penyaluran air antara lembangan.

“Ini semua untuk mengelakkan penggunaan air empangan secara maksimum,” katanya.

Setakat jam 8 pagi tadi, Empangan Sungai Selangor mencatatkan takungan sebanyak 61.89 peratus dengan taburan hujan 0.00mm.

Manakala, empangan Batu (68.72 peratus) dengan kadar hujan 7.50mm; Semenyih (67.57 peratus) dengan hujan 18.50mm ; Langat (75.70 peratus) dengan hujan 0.00mm dan Klang Gates (57.26 peratus) dengan hujan 0.00mm.

Selain itu, Empangan Tasik Subang mencatatkan takungan sebanyak 83.76 peratus dengan kadar taburan hujan (12.00mm); Kolam Takungan Sg. Labu (ORS) sebanyak 44.69 peratus dengan hujan (0.00mm) dan Sungai Tinggi sebanyak 74.94 peratus dengan hujan 4.00mm.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.