OLEH NAZLI IBRAHIM
SABAK BERNAM, 13 MEI: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meluangkan masa menghadiri Majlis Tahlil Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon dan suaminya Allahyarham Asmuni Abdullah di Masjid Pekan Pasir Panjang, di sini, malam tadi.
Majlis yang diadakan selepas solat Maghrib itu dipimpin Imam Besar Selangor, Muhammad Farhan Wijaya.
Selesai solat Isyak, Mohamed Azmin turut menikmati nasi ambeng bersama kira-kira hampir 100 masyarakat yang hadir pada majlis itu.
Hadir sama, Exco Negeri, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, Dr Daroyah Alwi dan Amirudin Shari.
Terdahulu, pada Majlis Penyerahan Baucar Pembiayaan Hijrah Selangor di Dewan Sri Bernam, Mohamed Azmin meminta hadirin supaya menyedekahkan Al-Fatihah untuk kesejahteraan Noriah.
“Sebelum saya meneruskan ucapan petang ini, saya mengajak semua rakyat Selangor untuk merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon dan suaminya Allahyarham Asmuni Abdullah yang meninggal dunia 5 Mei lalu.
“Kita mendoakan semoga Allahyarhamah dan Allahyarham mendapat husnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik dan roh mereka ditempatkan di syurga yang penuh dengan nikmat Allah,” katanya.
Noriah dan Asmuni meninggal dunia ekoran helikopter yang dinaiki terhempas ketika kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak lalu.
-AA-